AGENDA

Daftar pemilih tambahan Mei 2022 dibuka untuk semakan - SPR

16 Jun 2022, 7:13 AM
Daftar pemilih tambahan Mei 2022 dibuka untuk semakan - SPR

KUALA LUMPUR, 16 JUN: Daftar Pemilih Tambahan Bulan Mei Tahun 2022 (DPT BLN5/2022) yang telah diperaku dan diwartakan, kini dibuka untuk semakan bagi tempoh 30 hari bermula hari ini hingga 15 Julai.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Ikmalrudin Ishak dalam kenyataan hari ini berkata DPT BLN5/2022 mengandungi nama bagi 38,798 warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas bagi tempoh 1 Mei 2022 hingga 31 Mei lepas yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.

Beliau berkata DPT BLN5/2022 juga turut membabitkan sejumlah 5,751 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 3,348 pemilih bertukar status atau kategori pengundi.

Untuk semakan, beliau berkata SPR menyediakan lima kaedah iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my dan portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my .

Selain itu, semakan juga boleh dilakukan menerusi aplikasi dalam talian di https://myspr.spr.gov.my , aplikasi mudah alih MySPR Semak dan hotline SPR di talian 03-8892 7018.

“SPR menyeru kepada warganegara yang berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 Mei 2022 hingga 31 Mei 2022 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN5/2022.

”Sekiranya mereka mendapati namanya tidak disenaraikan dalam DPT BLN5/2022, mereka boleh membuat tuntutan dengan mengisi Borang C (tuntutan) melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan,” katanya.

Beliau berkata pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang membuat semakan dan berhasrat membuat bantahan kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan rayanya boleh mengisi Borang D (bantahan) dan hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.

“Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan hendaklah dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN5/2022,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619