AGENDA

Pengawal keselamatan, mangsa tembakan di Puchong terima faedah Perkeso

13 Jun 2022, 11:17 AM
Pengawal keselamatan, mangsa tembakan di Puchong terima faedah Perkeso

SERI KEMBANGAN, 13 JUN: Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Selangor hari ini menyerahkan bayaran faedah hilang upaya sementara kepada pengawal keselamatan yang cedera dalam insiden rompakan berhampiran sebuah bank di Puchong.

Pengarahnya Zainol Abu berkata faedah berjumlah RM5,631.12 itu diserahkan kepada Mohd Zaidi Mohd Noor, 44, berdasarkan bilangan cuti sakit mangsa susulan kejadian pada 11 Mac lalu.

"Bayaran ini adalah 80 peratus daripada gaji harian mangsa dengan minimum RM30 sehari dan mengikut jumlah cuti sakit. Bayaran ini diteruskan setiap bulan selagi mangsa masih mempunyai cuti sakit dan menerima rawatan.

"Diharap mangsa kekal bersabar dan segera sembuh. Perkeso melalui Skuad Prihatin akan sentiasa memantau kes seperti ini dan segera tampil untuk membayar pampasan," katanya ketika ditemui selepas menyerahkan faedah berkenaan di kediaman keluarga mangsa di Bandar Putra Permai dekat sini.

Dalam pada itu, beliau turut menyerahkan sumbangan kotak prihatin berisi makanan asas bernilai RM250 bagi meringankan beban keluarga mangsa.

Mengulas lanjut, Zainol berkata pihaknya turut menanggung sepenuhnya kos rawatan mangsa di hospital kerajaan atau hospital universiti mengikut Akta Fee 1951 Perintah Perubatan 1982.

"Bagaimanapun, bantuan alat pemulihan seperti katil dan lampin pakai buang tidak disediakan berikutan kecederaan mangsa tidak memerlukan kemudahan berkaitan. Keperluan ini hanya disediakan bergantung laporan perubatan doktor," katanya.

Terdahulu dalam kejadian jam 5.50 petang itu, mangsa cedera di bahagian dada manakala seorang lagi maut selepas ditembak dalam rompakan nekad di kawasan terbabit.

Semasa kejadian, terdapat empat pengawal keselamatan ditugaskan untuk mengambil wang dari sebuah bank untuk diangkut ke dalam van syarikat keselamatan, manakala seorang pemandu menunggu dalam kenderaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619