AGENDA

Generasi baharu harus daulatkan bahasa Melayu di samping bahasa lain

13 Jun 2022, 12:41 AM
Generasi baharu harus daulatkan bahasa Melayu di samping bahasa lain
Generasi baharu harus daulatkan bahasa Melayu di samping bahasa lain

KUALA LUMPUR, 13 JUN: Generasi baharu perlu mendaulatkan bahasa Melayu dengan menggunakannya sebagai bahasa ilmu seperti yang dilaksanakan di negara lain.

Sasterawan Negara Datuk Baharuddin Zainal berkata bahasa Melayu sudah lama diperjuangkan oleh generasi zaman terdahulu terutama dalam kalangan penulis.

[caption id="attachment_525205" align="alignleft" width="373"] Sasterawan Negara Baha Zain. Foto REMY ARIFIN/SELANGORKINI[/caption]

"Mereka ini adalah pejuang kemerdekaan gigih mempertahankan bahasa Melayu. Kesusasteraan bukan sekadar ucapan keindahan rasa terharu tetapi lidah dan suara perjuangan bangsa sehingga kita benar-benar merdeka.

"Oleh demikian, generasi baharu harus meneruskannya bukan sekadar mendaulatkan tetapi mengisi dan memperkukuhkan bahasa Melayu dengan ilmu pengetahuan tinggi," katanya yang pernah menubuhkan Persatuan Peminat Bahasa Kebangsaan di Sekolah Anderson, Perak.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Program Hati dan Minda Sasterawan di Pavilion Selangor sempena Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur, semalam.

Baharuddin atau nama penanya Baha Zain turut menyarankan masyarakat mempelajari bahasa lain dalam menuntut ilmu.

"Saya pernah belajar di Indonesia, segala ilmu pengetahuan diajar dalam bahasa mereka dan tiada masalah tetapi pada waktu sama menggalakkan penguasaan bahasa Inggeris dan bahasa antarabangsa lain.

"Ilmu berkembang bukan sahaja dalam bahasa Inggeris sahaja tetapi bahasa lain seperti Perancis, Jerman. Perkara penting ialah terus memodenkan bahasa Melayu dan pada masa sama belajar bahasa antarabangsa lain," katanya.

Pavilion Selangor di PBAKL 2022 merupakan ruangan Selangor sebagai negeri tamu menyediakan pelbagai maklumat mengenai insentif negeri.

Program Hati dan Minda Sasterawan pernah dianjurkan pada Pesta Buku Selangor tahun lalu dan menerusi PBAKL 2022 menampilkan beberapa sasterawan antaranya Prof Emeritus Dr Muhamad Haji Saleh, Fadli Al-Akiti serta Helmy Samad yang merupakan anak A Samad Said.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619