AGENDA

Lebih 1,000 pusat jagaan tidak berdaftar diberi peringatan - menteri

11 Jun 2022, 9:03 AM
Lebih 1,000 pusat jagaan tidak berdaftar diberi peringatan - menteri

JOHOR BAHRU, 11 JUN: Terdapat 1,028 pusat jagaan di bawah penyelenggaraan badan bukan kerajaan (NGO) dan persendirian yang didapati tidak berdaftar dan telah diberikan peringatan, kata Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) Datuk Seri Rina Harun.

Beliau berkata KPWKM sejak Januari tahun ini telahpun mengarahkan supaya dilakukan pemutihan bagi mendapatkan data jumlah pusat jagaan yang berdaftar dan tidak berdaftar, dan pada Februari sehingga 31 Mac mendapati, 1,028 pusat jagaan tidak berdaftar manakala yang berdaftar sebanyak 1,910.

“(Daripada jumlah 1,028) sebanyak 38 (daripadanya) telah diperakui pendaftaran, 57 berhenti operasi, lapan disita, 35 kompaun dan satu didakwa,” katanya.

Rina pada masa sama menjelaskan, kementeriannya juga bersedia untuk membentangkan cadangan dan gerak kerja kepada Mesyuarat Jemaah Menteri untuk menubuhkan Jawatankuasa Kabinet Melindungi Golongan Rentan.

Beliau berkata jawatankuasa itu yang akan dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akan meneliti secara menyeluruh isu berkaitan pusat jagaan termasuk pusat jagaan kanak-kanak, anak yatim, orang kurang upaya, warga emas serta pusat tahfiz, dan beliau mengharapkan agar ia dapat dilaksanakan dengan kadar segera.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619