AGENDA

MyCC siasat dakwaan wujud kartel kawal harga, bekalan ayam

1 Jun 2022, 6:08 AM
MyCC siasat dakwaan wujud kartel kawal harga, bekalan ayam

KUALA LUMPUR, 1 JUN: Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) kini di peringkat akhir melengkapkan siasatan berhubung dakwaan kewujudan kartel yang bertindak mengawal harga dan pengeluaran bekalan ayam di dalam negara.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata beberapa saksi dalam kalangan penternak dan ‘integrator’ turut dipanggil untuk membantu siasatan.

“Setakat ini MyCC sedang menyiasat keterlibatan kartel dalam (mengawal) harga ayam ini dan laporan lengkap dijangka dibentangkan dalam bulan Jun ini, sama ada betul atau tidak kita lihat berdasarkan hasil itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri program Jendela Fikir bertajuk ‘Larangan Eksport Tepung Gandum India Jejas Bekalan Tempatan?’, terbitan Bernama Radio di sini hari ini.

MyCC telah menubuhkan pasukan khas pada awal Februari lepas untuk menyiasat dakwaan terdapatnya pelakuan antipersaingan merangkumi perjanjian antipersaingan atau dan penyalahgunaan kedudukan dominan dalam pasaran yang boleh meningkatkan harga-harga barangan dalam pasaran industri ayam.

Sementara itu, Rosol berkata keputusan mengenai pelanjutan subsidi RM1.40 bagi sekilogram ayam yang dijadual tamat pada Ahad ini (5 Jun) akan dimuktamadkan oleh Kabinet hari ini.

“Kita ada beberapa cadangan berkaitan dengan hal tersebut dan hari ini mesyuarat akan tentukan sama ada nak teruskan, nak hentikan atau yang ketiga terus tapi dengan sedikit peningkatan. Mungkin Kabinet ada cadangan lain jadi keputusan bergantung kepada Kabinet,” katanya.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619