AGENDA

Bakal jemaah haji remaja disaran ambil dos penggalak - menteri

21 Mei 2022, 4:37 AM
Bakal jemaah haji remaja disaran ambil dos penggalak - menteri

KUALA LUMPUR, 21 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) menyarankan semua bakal jemaah haji remaja berumur 12 hingga 18 tahun untuk mengambil dos penggalak vaksin Covid-19 sebagai langkah tambahan sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Menteri Kesihatan Khairy Jamaluddin berkata syarat yang ditetapkan KKM bagi jemaah haji remaja mengambil dos penggalak Covid-19 ialah sekurang-kurangnya lima bulan selepas menerima dos kedua vaksin dos primer.

“Bagi remaja yang telah lengkap mengambil dos primer dan didapati mengalami jangkitan Covid-19 mereka layak menerima dos penggalak sebaik sahaja pulih sepenuhnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Khairy berkata memandangkan jemaah haji juga perlu mengambil suntikan vaksin lain seperti meningococcal, influenza atau pneumococcal, pemberian dos penggalak vaksin Covid-19 itu boleh diberikan dalam sela masa dua minggu sebelum dan selepas vaksin lain diberikan.

Katanya, jemaah haji boleh mendapatkan dos penggalak dengan hadir secara terus tanpa janji temu (walk-in) di pusat pemberian vaksin (PPV) yang masih beroperasi dengan membawa dokumen sokongan berkaitan seperti bukti surat tawaran menunaikan haji.

Menurut Khairy, sebelum ini KKM menyarankan semua bakal jemaah haji yang berusia 60 tahun dan ke atas serta jemaah berusia 18 hingga 59 tahun yang mempunyai risiko klinikal penyakit teruk untuk mendapatkan dos penggalak kedua sebelum berangkat ke Tanah Suci.

Beliau berkata langkah itu bertujuan mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 dalam kalangan jemaah haji semasa berada di Tanah Suci dengan mengambil kira perhimpunan yang ramai serta melibatkan jemaah haji seluruh dunia.

Khairy berkata sebagai langkah pencegahan dan kawalan, kerajaan Arab Saudi telah menetapkan bahawa semua jemaah haji perlu mendapatkan vaksinasi lengkap sebelum berlepas selain turut mengesyorkan pengambilan dos penggalak bagi mengurangkan risiko jangkitan Covid-19 terutamanya di tempat-tempat sesak dan juga di dalam pengangkutan awam di negara tersebut.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619