AGENDA

Kontraktor sambilan ditahan kes dera kanak-kanak tiga tahun

17 Mei 2022, 1:58 AM
Kontraktor sambilan ditahan kes dera kanak-kanak tiga tahun

KUALA LUMPUR, 17 MEI: Polis menahan seorang kontraktor sambilan kerana disyaki terlibat mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun, di bawah jagaannya di Jalan Besar Taman Dagang di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohamad Farouk Eshak berkata lelaki warga tempatan berusia 40-an itu, merupakan penjaga sementara kepada kanak-kanak berkenaan, kerana ibu bapa kandung mangsa kini menjalani hukuman penjara atas kesalahan dadah.

Beliau berkata kanak-kanak berkenaan dijaga suspek sejak awal Januari tahun ini.

“Kes ini dikesan, selepas seorang warga tempatan mengesan kanak-kanak itu mengalami kecederaan pada badannya.

“Pengadu mendengar tangisan kuat daripada kanak-kanak itu berdekatan rumahnya dan melihat kecederaan pada muka dan badan mangsa, lalu terus membuat laporan polis,” katanya dalam kenyataan malam tadi.

Mohamad Farouk berkata suspek merupakan kawan kepada bapa kanak-kanak berkenaan, yang diminta menjaga mangsa buat sementara waktu.

Menurutnya, lelaki terbabit yang mempunyai tiga rekod jenayah lampau dadah dan satu rekod lampau jenayah komersial, akan dibawa ke Mahkamah Ampang esok bagi tujuan permohonan reman untuk membantu siasatan.

Kanak-kanak berkenaan kini ditempatkan di Wad Pediatrik Hospital Ampang untuk pemerhatian dan rawatan lanjut.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619