AGENDA

Kes tembak di Bukit Bintang: Dua suspek ditahan

5 Mei 2022, 6:47 AM
Kes tembak di Bukit Bintang: Dua suspek ditahan

KUALA LUMPUR, 5 MEI: Dua suspek warga tempatan yang diburu polis bagi membantu siasatan berhubung kejadian kes tembak di sebuah hotel di Bukit Bintang pada Selasa lepas, berjaya ditahan semalam.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Azmi Abu Kassim berkata kedua-dua suspek yang berusia 47 dan 51 tahun itu diberkas dalam serbuan di sebuah kediaman di Puchong pada 8.15 malam.

Beliau berkata dalam serbuan itu, polis turut merampas sepucuk revolver .38, sepucuk pistol semi auto jenis Barreta, 14 butir peluru, sebuah motosikal jenis RS150 berwarna merah, dua topi keledar, dua helai baju dan seluar, dua pasang kasut sukan, topi, sebuah beg silang serta tiga telefon bimbit pelbagai jenama.

“Satu (daripada) pistol berkenaan (yang dirampas) dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini.

Pada Selasa lepas, seorang lelaki tempatan berusia 49 tahun ditemukan maut dengan kesan tembakan di dahi dalam kejadian di sebuah bilik hotel di Bukit Bintang sejam selepas beliau mendaftar masuk.

Penemuan mayat mangsa disedari seorang pekerja hotel berkenaan yang memasuki bilik tersebut dan kemudian menghubungi polis pada kira-kira 7 malam.

Beliau berkata siasatan awal polis mendapati suspek dan mangsa berjumpa di bilik hotel berkenaan bagi urusan berkaitan jual beli dadah manakala semakan ke atas mangsa pula mendapati dia mempunyai 14 rekod jenayah lampau berkaitan kes culik, bunuh serta dadah.

Azmi berkata penahanan terbaharu itu menjadikan kesemua tiga suspek telah ditahan bagi membantu siasatan.

Sementara itu, beliau berkata semakan terhadap suspek pertama yang ditahan di tempat kejadian pada hari sama mendapati dia mempunyai tujuh rekod jenayah berkaitan dadah dan telah direman selama enam hari bermula semalam sehingga Isnin ini manakala permohonan reman bagi dua lagi suspek akan dibuat hari ini.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619