AGENDA

Badminton Asia: Pemain perseorangan, beregu lelaki negara layak separuh akhir

30 Apr 2022, 12:53 AM
Badminton Asia: Pemain perseorangan, beregu lelaki negara layak separuh akhir

KUALA LUMPUR, 30 APRIL: Pemain perseorangan utama lelaki negara Lee Zii Jia mempamerkan permainan bertenaga ketika menewaskan pemain Jepun Kanta Tsuneyama, bagi menempah tiket ke separuh akhir Kejohanan Badminton Asia (BAC) 2022 di Manila, Filipina, hari ini.

Zii Jia, pemain nombor tujuh dunia itu bermain cemerlang dari awal sehingga tamat permainan peringkat suku akhir, memerlukan hanya 36 minit untuk mengetepikan cabaran Tsuneyama 21-13, 21-11, di Kompleks Sukan Muntinlupa.

Pemain pilihan ketiga itu akan menentukan tempat ke akhir dengan bertemu pemain bukan pilihan dari China Weng Hong Yang, pada perlawanan separuh akhir esok.

Terdahulu Hong Yang melakukan kejutan dengan menewaskan pemain pilihan kedua kejohanan Anthony Sinisuka Ginting dari Indonesia dalam tiga set 21-13,16-21 dan 21-11.

Sementara itu juara beregu lelaki Terbuka Jerman 2022 Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani meneruskan permainan cemerlang mereka di kejohanan itu dengan menewaskan Ren Xiang Yu-Tan Qiang dari China, 21-19, 21-14.

Malaysia sudah pasti akan mempunyai satu wakil beregu lelaki di perlawanan akhir, selepas pemenang pingat gangsa Olimpik Tokyo Aaron Chia-Soh Wooi Yik berjaya menewaskan pasangan India Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty, 12-21, 21-14, 21-16, untuk bertemu pasangan Sze Fei-Nur Izzuddin, esok.

Bagaimanapun satu lagi pasangan beregu lelaki negara Man Wei Chong-Tee Kai Wun gagal meneruskan cabaran ke peringkat empat terakhir, selepas tewas kepada pasangan Indonesia Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, 21-16, 21-16.

Sementara itu pasangan beregu wanita negara yang merupakan pilihan ketujuh kejohanan Pearly Tan-M. Thinaah, gagal mengekalkan kemenangan set pertama mereka, selepas tewas dua set seterusnya kepada pasangan pilihan keempat dari Jepun Yuki Fukushima-Sayaka Hirota, 21-14, 19-21, 16-21.

Dalam satu lagi perlawanan, harapan negara dalam beregu campuran juga berakhir, apabila pasangan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing tewas kepada pasangan Jepun Yuta Watanabe-Arisa Higashino, 18-21, 5-21.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619