AGENDA

HARAPAN: PM panggil sidang khas lulus RUU Antilompat Parti sebelum akhir Mei

11 Apr 2022, 6:15 AM
HARAPAN: PM panggil sidang khas lulus RUU Antilompat Parti sebelum akhir Mei

SHAH ALAM, 11 APRIL: Pakatan Harapan berkata Perdana Menteri bersetuju memanggil satu sidang khas Parlimen sebelum akhir bulan Mei bagi membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Antilompat Parti.

Majlis Presiden Harapan berkata perkara itu dipersetujui dalam perbincangan bersama Perdana Menteri dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Parlimen) di Parlimen pagi tadi.

"Dalam pertemuan itu turut dibincangkan mengenai pindaan Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan berhubung hak berpersatuan yang perlu diperhalusi supaya ianya dihadkan kepada Rang Undang- Undang berhubung larangan melompat parti sahaja.

"Turut dibincangkan Perkara 48(6) Perlembagaan Persekutuan berhubung seseorang wakil rakyat yang melepaskan jawatan wakil rakyat hilang kelayakan untuk bertanding selama lima tahun akan diteliti dan

diusahakan penyelesaian supaya selaras dengan semangat RUU Antilompat Parti," menurut kenyataan hari ini.

Selain itu, katanya pindaan Perlembagaan yang dibentangkan hari ini juga akan dirujuk ke sebuah Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen yang bersifat dwipartisan, melibatkan semua parti yang berperanan meneliti, memperhalusi dan mencadangkan deraf pindaan Perlembagaan dan RUU Antilompat Parti ke

Jemaah Menteri dalam masa satu bulan.

Kenyataan itu ditandatangani Presiden Parti Keadilan Rakyat Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara Mohamad Sabu, Setiausaha DAP Anthony Loke dan Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu Datuk Seri Madius Tangau.

"Majlis Presiden turut mengulangi pendirian bahawa RUU Antilompat Parti adalah salah satu syarat utama Memorandum Persefahaman Transformasi dan Kestabilan Politik (MOU).

"Pakatan Harapan komited untuk memastikan pindaan Perlembagaan dan RUU Antilompat Parti ini berjaya dibentang dan diluluskan di Parlimen, demi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap proses pilihanraya dan seterusnya menjamin masa depan demokrasi di Malaysia," kata kenyataan itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619