AGENDA

Malaysia tarik balik larangan import lembu, kerbau dari Thailand

17 Mac 2022, 12:09 AM
Malaysia tarik balik larangan import lembu, kerbau dari Thailand

PUTRAJAYA, 17 MAC: Malaysia menarik balik larangan import lembu dan kerbau dari Thailand berkuat kuasa serta-merta, umum Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS).

Jabatan itu memaklumkan keputusan tersebut merupakan hasil persetujuan bersama Jabatan Pembangunan Ternakan (DLD) Thailand berhubung langkah pengawalan penyakit Lumpy Skin Disease (LSD) melibatkan pengimportan lembu dan kerbau.

“Keputusan ini dibuat setelah beberapa penambahbaikan dalam peraturan dan prosedur import dilakukan. Ia turut mengambil kira langkah-langkah mitigasi yang boleh diambil dalam negara bagi mengawal penyakit LSD,” menurut jabatan itu dalam kenyataan semalam.

Pada 8 Jun lepas, Malaysia telah menggantung serta-merta pengimportan lembu dan kerbau dari Thailand selepas menilai risiko penularan penyakit LSD yang dilaporkan menular di lebih 41 wilayah di negara itu.

Penggantungan itu juga bertujuan membendung risiko penularan penyakit LSD dari Thailand demi kepentingan industri penternakan ruminan negara.

Susulan penarikan semula larangan import itu, DVS memohon kerjasama pemain industri untuk memastikan pembelian ternakan dari Thailand dibuat melalui pembekal ternakan yang sah dan berdaftar dengan DLD.

Jabatan itu memberitahu ia bertujuan memastikan setiap prosedur dalam pengawalan penyakit LSD dapat dipatuhi sekali gus mengelakkan ternakan berpenyakit dibawa masuk ke negara ini.

DVS turut menjangkakan bekalan ternakan lembu dan kerbau tidak terganggu dan mencukupi menjelang sambutan Aidilfitri dijangka pada Mei ini.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619