AGENDA

Negeri imbangi pembangunan, kelestarian alam sekitar

1 Mac 2022, 6:59 AM
Negeri imbangi pembangunan, kelestarian alam sekitar

SHAH ALAM, 1 MAC: Kerajaan Selangor memandang serius perancangan dan pembangunan yang dilaksana di negeri ini dengan mengambil kira dampak terhadap alam sekitar.

Dato' Menteri Besar berkata kedua-dua aspek itu harus seimbang dan diberi perhatian bagi mewujudkan amalan gaya hidup hijau sekali gus mengurangkan pembebasan karbon.

Dato' Seri Amirudin Shari menjelaskan inisiatif itu juga mampu mempercepat transformasi untuk menjadikan Selangor sebagai negeri rendah karbon.

"Kita sentiasa mengambil berat setiap pelaksanaan pembangunan yang dilihat dapat memberi impak kepada masyarakat sekeliling.

"Pihak berkuasa tempatan dan swasta perlu berperanan menentukan corak pembangunan mengambil kira aspek keperluan fizikal, ekonomi, sosial serta ekosistem kondusif," katanya.

Beliau berucap pada Majlis Penyampaian Hadiah Pertandingan Reka Bentuk Cadangan Pembangunan Kompleks Kerajaan dan Syarikat Berkaitan Kerajaan (GLC) serta Komponen Komersial di Pusat Konvensyen Shah Alam dekat sini hari ini.

Hadir sama Pegawai Kewangan Negeri Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin dan Ketua Pegawai Eksekutif Permodalan Negeri Selangor Berhad (PNSB) Raja Ahmad Shahrir Iskandar Raja Salim.

Dalam majlis itu, Amirudin turut menyampaikan hadiah wang tunai RM50,000 berserta trofi dan sijil kepada AJC Planning Consultants Sdn Bhd selaku juara pertandingan yang dianjurkan November lalu.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik inisiatif PNSB yang meneroka dan mengenal pasti mercu tanda ikonik di Seksyen 5 di sini untuk menempatkan pejabat anak syarikat negeri serta pusat komersial.

"Lokasi yang strategik menjadi satu pembaharu inovatif sekali gus melonjakkan status bandaraya Shah Alam ke arah lebih sistematik, terkini dan efisien," kata Amirudin lagi.

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619