AGENDA

Rumah dilanda bah, pengantin harung air ke masjid langsung majlis nikah

26 Feb 2022, 9:34 AM
Rumah dilanda bah, pengantin harung air ke masjid langsung majlis nikah

HULU TERENGGANU, 26 FEB: Seorang pengantin perempuan terpaksa mengharungi banjir beberapa meter untuk menuju ke Masjid Kampung Matang di sini bagi melangsungkan majlis pernikahannya pagi tadi.

Zaleha Ahamad, 25, berkata majlis pernikahan itu sepatutnya diadakan di rumahnya di Kampung Matang di sini, namun terpaksa bertukar lokasi ke masjid itu kerana rumahnya dinaiki air lebih satu meter sejak semalam.

"Mengikut perancangan asal, selepas bernikah, saya dan suami Sayed Khalil Khusairi Tuan Hamzah (26 tahun) terus bersanding di rumah namun apakan daya, ia terpaksa dibatalkan.

"Tak sangka majlis pernikahan yang sepatutnya menjadi kenangan indah seumur hidup bertukar menjadi begini. Namun, saya fikir positif bahawa pengalaman mengharung banjir ini akan menjadi sesuatu yang manis untuk kami kongsikan kepada anak cucu nanti," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Kampung Matang adalah antara kampung yang sering terjejas banjir di daerah Hulu Terengganu kerana lokasinya terletak di kawasan yang agak rendah berhampiran Sungai Telemong.

Anak keempat daripada enam beradik itu berkata dia tidak menyangka banjir akan berlaku kali ini kerana kebiasaannya banjir di daerah itu hanya terjadi dalam tempoh November hingga awal Januari sahaja.

"Majlis ini dirancang sebulan lepas kerana kedua-dua keluarga pengantin beranggapan banjir sudah selesai. Walaupun tidak dapat melalui pengalaman sepertimana pengantin lain, saya dan suami tetap bersyukur kerana telah menghalalkan ikatan perhubungan.

"Khemah untuk jamuan semua tetamu pula terpaksa dialihkan ke atas jalan kerana halaman rumah dinaiki air," katanya yang mengenali suami sejak sekolah menengah.

Ketika ini, seramai 493 penduduk daripada 156 keluarga terjejas banjir di daerah Hulu Terengganu dan ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) daerah itu.

-- BERNAMA

 

 

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619