AGENDA

ASNB umum agihan pendapatan 2.74 sen seunit bagi ASN Imbang 1

29 Nov 2021, 1:45 PM
ASNB umum agihan pendapatan 2.74 sen seunit bagi ASN Imbang 1

KUALA LUMPUR, 29 NOV: Amanah Saham Nasional Bhd (ASNB) pada Isnin mengumumkan pengagihan pendapatan 2.74 sen seunit bagi ASN Imbang (Mixed Asset Balanced) 1 (ASN Imbang 1) untuk tahun kewangan berakhir 30 Nov 2021.

Ia melibatkan pembayaran pengagihan pendapatan berjumlah RM27.46 juta bagi unit amanah harga berubah itu.

Permodalan Nasional Bhd (PNB) menjelaskan pengagihan, yang diumumkan syarikat pengurusan unit amanah milik penuhnya itu, adalah bersamaan hasil dividen sebanyak 2.85 peratus berdasarkan Nilai Aset Bersih (NAB) terkini dana.

“Jumlah pengagihan pendapatan yang diisytiharkan adalah bersamaan 2.74 sen seunit yang memberi manfaat kepada 44,752 pemegang unitnya dengan pelaburan berjumlah 1.00 bilion unit,” menurutnya dalam kenyataan.

Setakat 26 Nov, 2021, ASN Imbang 1 mencatatkan jumlah pulangan sebanyak 6.92 peratus, mengatasi penanda aras 50 peratus Indeks 100 Teratas FTSE Bursa Malaysia (FBM 100) dan 50 peratus deposi tetap 12 bulan Maybank sebanyak 7.13 peratus, tambahnya.

Menurut PNB, pengagihan yang diisytiharkan akan dilaburkan semula secara automatik ke dalam akaun pemegang unit pada 1 Dis 2021.

Dalam tempoh yang sama, ASN Imbang 1 mencatatkan pendapatan bersih direalisasikan sebanyak RM31.20 juta, sebahagiannya didorong oleh strategi kepelbagaian pelaburan ke pasaran antarabangsa, jelasnya.

“Sehingga kini, dana ini memperuntukkan sekitar 21 peratus daripada asetnya dalam ekuiti global yang menyumbang 61 peratus kepada pendapatan kasar.

“PNB akan meneruskan momentum usaha mempelbagaikan portfolionya agar institusi ini dapat memberikan pulangan yang mampan kepada para pemegang unit,” tambahnya.

Urus niaga di semua cawangan dan ejen ASNB untuk ASN Imbang 1 ditangguhkan buat sementara waktu dari 26 hingga 30 Nov 2021 bagi memudahkan pengiraan pengagihan pendapatan.

Pemegang unit boleh menyemak dan mengemas kini akaun mereka di portal myASNB (www.myasnb.com.my), melalui aplikasi mudah alih myASNB atau di mana-mana cawangan dan ejen ASNB di seluruh negara apabila urus niaga beroperasi semula pada 1 Dis 2021.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619