AGENDA

Solat kapasiti penuh di Masjidil Haram, Masjid Nabawi mulai Ahad

16 Okt 2021, 2:36 AM
Solat kapasiti penuh di Masjidil Haram, Masjid Nabawi mulai Ahad

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Solat berjemaah dengan kapasiti penuh dibenarkan di Masjidil Haram, Mekah dan Masjid Nabawi, Madinah bermula Ahad (17 Okt).

Demikian antara enam perkara berkaitan kelonggaran tatacara operasi piawai (SOP) Covid-19 terbaharu yang diumumkan kerajaan Arab Saudi pada Jumaat.

Menerusi infografik yang dimuat naik di laman twitter rasminya, Kementerian Dalam Negeri (MOI) Arab Saudi memaklumkan kerajaan tidak lagi mewajibkan pemakaian pelitup separuh muka di tempat terbuka, kecuali di beberapa tempat tertentu dan tertutup termasuk di kedua-dua masjid suci berkenaan.

“Pekerja dan pengunjung dua masjid suci tetap diwajibkan memakai pelitup muka sepanjang berada di dalamnya selain wajib berdaftar menerusi aplikasi Eatmarna atau Tawakkalna”, katanya.

Kementerian juga memberi kebenaran kepada sistem pengangkutan awam, restoran, panggung wayang, dewan acara dan sebagainya untuk beroperasi pada kapasiti penuh tanpa tertakluk kepada arahan penjarakan fizikal.

Bagaimanapun, hanya penerima dua dos vaksin yang dibenarkan memasuki kesemua premis berkenaan.

Kebenaran ini juga diberikan kepada golongan yang dikecualikan daripada mengambil vaksin atas faktor kesihatan dengan mereka diwajibkan memakai pelitup separuh muka.

Menurut kementerian itu lagi penjarakan fizikal dan pemakaian pelitup separuh muka masih diwajibkan di tempat-tempat yang tidak dapat disahkan tahap kesihatan pengunjungnya menerusi aplikasi Tawakkalna.

Pemilik premis awam dan swasta pula wajib mengesahkan tahap vaksinasi pengunjung melalui aplikasi Tawakkalna sebelum mereka dibenarkan memasuki premis masing-masing.

-BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619