AGENDA

Stesen minyak, restoran, kedai serbaneka dibenar operasi jam 6 pagi hingga 12 malam

21 Sep 2021, 12:16 PM
Stesen minyak, restoran, kedai serbaneka dibenar operasi jam 6 pagi hingga 12 malam

KUALA LUMPUR, 21 SEPT: Lanjutan waktu operasi bagi perkhidmatan stesen minyak, restoran, kedai makan dan kedai serbaneka dibenarkan dari 6 pagi hingga 12 malam untuk semua fasa kecuali di kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan.

Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata cadangan itu dipersetujui pada mesyuarat kedua Menteri Kuartet Covid-19 hari ini dan akan disyor kepada Jawatankuasa Khas Pengurusan Pandemik Covid-19 yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob esok.

“Mesyuarat juga memberi fokus kepada penambahbaikan tatacara operasi piawai (SOP) dengan usaha mempermudah 181 SOP kepada 10 sahaja agar berjalan dengan baik sekali gus memberi keyakinan ia dapat diselesaikan seperti dirancang pada permulaan Oktober,” katanya dalam sidang media di bangunan Parlimen hari ini.

Beliau juga berkata keputusan kebenaran merentas negeri perlu dibuat secara bertanggungjawab dengan memastikan ia benar-benar selamat.

Hishammuddin berkata pelbagai faktor perlu dipertimbang termasuk jumlah peratusan vaksinasi dan kemampuan hospital di negeri dalam menangani Covid-19 sekiranya berlaku perkara yang tidak diingini.

Beliau berkata risiko penularan wabak Covid-19 juga perlu dilihat jika perjalanan secara besar-besaran dibenarkan terutama bagi mereka yang berada di kawasan berisiko.

“Saya harap semua tahu kita bukan sahaja serius tetapi kita juga bertanggungjawab untuk memastikan apabila kita buat kelonggaran, kita lakukannya dalam keadaan selamat dan bertanggungjawab,” katanya yang menggunakan slogan #reopeningsafely berhubung isu kebenaran rentas negeri.

Hishammuddin berkata pada akhirnya, akan ada sinar di hujung terowong namun rakyat perlu memberi masa kepada kerajaan dalam membuat keputusan berhubung perkara itu.

Beliau berkata buat masa ini, kerajaan telah memberikan kelonggaran berkaitan rentas negeri seperti projek rintis gelembung pelancongan Langkawi dan pasangan jarak jauh yang telah lengkap vaksinasi.

“Menuju fasa endemik, lebih banyak kelonggaran akan diberikan kepada rakyat. Saya berharap rakyat tidak leka sebaliknya kekal berdisiplin dalam mengamalkan SOP serta mematuhi garis panduan yang ditetapkan,” katanya.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619