AGENDA

Diskaun 20 peratus yuran untuk lebih 500,000 siswa IPT semester satu

14 Sep 2021, 8:39 AM
Diskaun 20 peratus yuran untuk lebih 500,000 siswa IPT semester satu

SHAH ALAM, 14 SEPT: Pengurangan yuran sebanyak 20 peratus diberikan kepada semua pelajar warganegara di universiti awam semester pertama bagi sesi 2021/2022.

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata pengurangan cukai itu bakal memanfaat seramai 555,340 pelajar dengan nilai keseluruhan RM175 juta.

"Malah menerusi inisiatif #KPTPRIHATIN dan selaras dengan prinsip Keluarga Malaysia, program berkaitan kesihatan mental serta perkhidmatan kaunseling seperti Tele-Kaunseling dan Pengurusan Kesihatan Mental Diri turut disediakan," katanya dalam sidang media secara maya hari ini.

Noraini juga memaklumkan kemasukan pelajar secara fizikal ke kampus secara berperingkat akan bermula 15 Oktober hadapan.

Proses tersebut dijalankan dengan tatacara operasi piawai (SOP) sektor pendidikan tinggi pengoperasian IPT dan hanya pelajar, staf akademik serta bukan akademik lengkap divaksin melepasi tempoh keberkesanan dibenarkan masuk ke kampus.

Kemasukan pelajar yang lengkap divaksin ke IPT melibatkan semua kategori dan fasa PPN dengan keutamaan diberikan kepada pelajar berkeperluan.

Noraini turut memaklumkan IPT perlu membuat perancangan teliti dengan mengenal pasti pelajar, menentukan jadual pergerakan dan memastikan warga IPT melalui proses saringan kesihatan yang ketat.

"Pergerakan pelajar kembali ke kampus adalah berdasarkan kepada dua perkara iaitu bagi IPT di Semenanjung hanya surat kebenaran kembali ke kampus diperlukan sementara institusi pengajian di Sarawak, Sabah dan Labuan tertakluk kepada SOP dikuatkuasakan Kerajaan Negeri masing-masing.

"Pelajar perlu mendapatkan surat kebenaran rentas daerah atau negeri daripada polis dan menjalani ujian tindak balas berantai polimeras masa nyata (rt-PCR) diberikan secara percuma di klinik kesihatan kerajaan," katanya.

Tambah Noraini pengukuhan SOP di kampus amat ditekankan bagi mengawal penularan Covid-19 dengan menetapkan supaya pusat pengasingan disediakan di IPT masing-masing bagi menguruskan kes bergejala atau jangkitan dan digalakkan memberi kit ujian kendiri kepada pelajar kembali ke kampus.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619