Kes tembak Komander AKPS Bukit Kayu Hitam: Dua lagi suspek ditahan

28 Feb 2026, 6:40 AM
Kes tembak Komander AKPS Bukit Kayu Hitam: Dua lagi suspek ditahan

BUKIT KAYU HITAM, 28 FEB: Dua lagi individu ditahan bersabit kes melepaskan tembakan ke arah kenderaan yang dinaiki Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam pada pagi Rabu lepas.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kedua-dua tangkapan terbaharu itu melibatkan lelaki berusia 51 dan 58 tahun.

“Hasil tangkapan kumpulan pertama sebelum ini dan selepas siasatan lanjut, kami mengenal pasti dua lagi suspek yang membawa kepada tangkapan terbaharu malam tadi," katanya semasa sidang media hari ini.

Beliau berkata kedua-dua suspek akan disoal siasat dalam tempoh 24 jam pertama, dan mereka akan dibawa ke mahkamah untuk permohonan reman selepas itu.

Terdahulu, Saifuddin Nasution melawat pintu masuk AKPS di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam yang turut dihadiri Ketua Pengarah agensi berkenaan Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain dan Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah.

Beliau juga berkata susulan insiden tembakan itu, Komander AKPS Bukit Kayu Hitam SAC Mohd Nasaruddin M. Nasir telah memaklumkan polis bahawa dirinya diekori individu tidak dikenali sebelum kejadian.

Saifuddin Nasution berkata Mohd Nasaruddin turut memberikan maklumat berkaitan fizikal dan perwatakan individu yang dipercayai mengekorinya sekali gus membantu polis membuat pemprofilan sebelum menahan kedua-dua suspek.

Sebelum ini, polis menahan tujuh individu termasuk seorang wanita Thailand berusia lingkungan 22 hingga 52 tahun yang disyaki terlibat dalam kes itu dalam beberapa serbuan di sini dan Padang Besar, Perlis pada hari yang sama selepas kejadian.

Insiden itu menyaksikan kenderaan utiliti sukan (SUV) jenis Proton X70 yang dipandu Mohd Nasaruddin ditembak pada 5.40 pagi di susur masuk Masjid Muhajirin di sini, kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

Suspek yang menaiki sebuah motosikal melepaskan dua das tembakan dipercayai menggunakan senjata separa automatik ke arah kenderaan mangsa.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619