Anggota polis maut kemalangan di Jalan Cheras

28 Feb 2026, 1:30 AM
Anggota polis maut kemalangan di Jalan Cheras

KUALA LUMPUR, 28 FEB: Seorang anggota polis maut selepas terlibat dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan lori di Jalan Cheras, dari arah Taman Midah menghala ke Taman Connaught di sini semalam.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur ACP Mohd Zamzuri Mohd Isa berkata dalam kejadian pada 1.10 tengah hari itu, mangsa yang berusia 34 tahun sedang menunggang motosikal Yamaha 135LC.

Beliau berkata siasatan awal mendapati mangsa yang bertugas di Urus Setia KPN Bukit Aman dipercayai mencelah di antara dua lorong ketika aliran trafik sesak sebelum sebuah kenderaan di hadapannya membrek secara mengejut.

“Kejadian menyebabkan mangsa gagal mengawal motosikal lalu terjatuh dan termasuk ke bawah sebuah lori Sinotruk Howo yang sedang bergerak di lorong kiri.

“Mangsa mengalami kecederaan parah pada bahagian kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pegawai perubatan Hospital Canselor Tuanku Muhriz,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Zamzuri berkata pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu pada 2.06 petang.

Beliau berkata pemandu lori berusia 45 tahun tidak mengalami sebarang kecederaan dan ditahan bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

“Ujian alkohol terhadap pemandu didapati negatif manakala pemeriksaan saringan air kencing akan dijalankan,” katanya.

Beliau berkata terdapat sebuah lagi kenderaan yang masih belum dikenal pasti dipercayai turut terlibat dalam kemalangan itu.

Orang ramai atau saksi kejadian yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Balai Polis Trafik Tun H.S. Lee di talian 03-2071 9999 atau mana-mana balai polis berhampiran.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619