Tujuh termasuk wanita Thailand ditahan kes tembak kenderaan komander AKPS

27 Feb 2026, 8:58 AM
Tujuh termasuk wanita Thailand ditahan kes tembak kenderaan komander AKPS

SHAH ALAM, 27 FEB: Polis menahan tujuh individu termasuk seorang wanita warga Thailand bagi membantu siasatan kes tembakan terhadap kenderaan dipandu Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Bukit Kayu Hitam, awal pagi kelmarin.

Ketua Polis Kedah, Datuk Adzli Abu Shah berkata enam suspek adalah lelaki warga tempatan manakala wanita terbabit dipercayai isteri kepada salah seorang suspek.

Menurutnya, semua suspek berusia antara 22 hingga 52 tahun itu ditahan dalam Ops Tutup yang dilancarkan Bahagian Siasatan Khas (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kontinjen Kedah bermula jam 10.30 pagi kelmarin.

“Pasangan suami isteri terbabit ditahan di pintu sempadan Padang Besar, Perlis pada jam 12.30 tengah hari ketika cuba melarikan diri ke negara jiran.

“Yang peliknya mereka tinggal di Bukit Kayu Hitam tetapi cuba keluar melalui Padang Besar, sebab itu kita tahan untuk siasatan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kedah, hari ini, lapor Harian Metro.

Adzli berkata, hasil ujian saringan awal air kencing mendapati lima suspek positif dadah jenis ketamin manakala seorang lagi positif methamphetamine.

Semakan rekod lampau turut mendapati suspek mempunyai rekod jenayah termasuk kes rogol, kastam, bunuh dan lain-lain kesalahan jenayah.

Siasatan lanjut juga mendapati dua suspek mempunyai kesan ‘Gun Shot Residue’ (GSR), iaitu kesan serbuk letupan hasil tembakan yang lazimnya melekat pada tangan dan pipi.

Semua suspek direman hingga 1 Mac bagi membantu siasatan, kecuali wanita warga Thailand itu yang direman 14 hari mengikut Akta Imigresen bagi menyemak ketulenan dokumen perjalanan.

Polis tidak menolak kemungkinan tembakan yang dilepaskan mempunyai niat untuk membunuh, dipercayai berpunca daripada rasa tidak puas hati terhadap tindakan tegas penguat kuasa sehingga menjejaskan aktiviti penyeludupan.

“Tindakan lebih tegas akan diambil dan petugas di pintu sempadan akan dibekalkan jaket kalis peluru serta senjata bersesuaian bagi memastikan keselamatan mereka,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan kenderaan Proton X70 dinaiki Komander AKPS Bukit Kayu Hitam, Mohd Nasaruddin M Nasir, ditembak dua das pada jam 5.40 pagi.

Bagaimanapun, mangsa terselamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan dengan niat menyebabkan kematian atau kecederaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619