Kenderaan Komander AKPS Bukit Kayu Hitam ditembak

25 Feb 2026, 2:32 AM
Kenderaan Komander AKPS Bukit Kayu Hitam ditembak

BUKIT KAYU HITAM, 25 FEB: Kenderaan dinaiki Komander Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS) Bukit Kayu Hitam Senior Asisten Komisioner (SAC) Mohd Nasaruddin Mohd Nasir ditembak dalam satu kejadian di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Kedah Datuk Adzli Abu Shah berkata Mohd Nasaruddin terselamat dalam kejadian pada 5.40 pagi itu yang berlaku kira-kira satu kilometer dari sempadan Malaysia-Thailand.

“Mangsa sedang menghala ke Masjid Al Muhajirin Bukit Kayu Hitam untuk menunaikan solat Subuh sebelum didatangi dua individu berpakaian serba hitam menaiki motosikal dengan topi keledar full-face.

“Seorang daripada suspek melepaskan dua tembakan yang terkena pintu di bahagian kanan belakang kenderaan dan pintu sebelah penumpang hadapan, namun tidak mendatangkan kecederaan kepada mangsa,” katanya pada sidang media hari ini.

Adzli berkata sejurus kejadian, mangsa yang memandu seorang diri cuba mengejar suspek sejauh kira-kira satu kilometer sebelum mereka lolos ke kawasan perindustrian berhampiran.

Katanya mangsa kemudian memandu kenderaan persendirian jenis Proton X70 ke Balai Polis Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) di sini.

Beliau berkata polis akan menyiasat daripada semua aspek dan tidak menolak kemungkinan ada ketidakpuasan hati mana-mana sindiket yang melakukan kesalahan di sempadan.

Adzli memaklumkan AKPS Bukit Kayu Hitam merekodkan banyak kejayaan rampasan dalam tempoh dua bulan ini, termasuk rampasan 100 tan beras dan daging khinzir.

“Ini mungkin menyebabkan ketidakpuasan hati sindiket-sindiket. Pihak polis juga banyak menangkap penyeludup dan migran yang berpusat di sini dan mangsa bertanggungjawab atas penugasan di kompleks ini (ICQS Bukit Kayu Hitam),” katanya.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 3 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 kerana melepaskan tembakan dengan niat hendak menyebabkan kematian atau kecederaan kepada seseorang.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619