SPRM sangkal dakwaan wujud 'Mafia Korporat', sifatkan cubaan cemar kredibiliti siasatan

24 Feb 2026, 3:02 PM
SPRM sangkal dakwaan wujud 'Mafia Korporat', sifatkan cubaan cemar kredibiliti siasatan

PUTRAJAYA, 24 FEB: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menafikan dakwaan mengaitkan kewujudan “Mafia Korporat” dengan suruhanjaya itu serta menyifatkan ia sebagai cubaan mencemarkan kredibiliti siasatan dan tindakan penguatkuasaan terhadap pihak tertentu dalam sektor korporat.

SPRM memaklumkan tuduhan itu tidak berasas dan dipercayai berpunca daripada sebuah blog dalam talian tanpa identiti pemilik, penulis atau akauntabiliti yang jelas.

“SPRM menolak sepenuhnya dakwaan-dakwaan tanpa asas yang dibangkitkan… Suruhanjaya memandang serius penyebaran tuduhan palsu sedemikian khususnya apabila ia boleh menjejaskan keyakinan awam terhadap tindakan penguatkuasaan yang dijalankan secara sah,” menurut kenyataan itu.

Menurut SPRM, isu itu adalah dakwaan lama yang dikitar semula dan sengaja dimainkan bagi mencemarkan imej serta reputasi suruhanjaya berkenaan.

SPRM memaklumkan semua siasatan dilaksanakan berasaskan bukti selaras dengan undang-undang dan tertakluk kepada proses perundangan yang ditetapkan.

Katanya, perkara berkenaan kini disiasat oleh Polis Diraja Malaysia dan memberi jaminan kerjasama penuh bagi memastikan fakta serta kebenaran ditentukan mengikut lunas undang-undang.

“Penyebaran tuduhan tanpa asas daripada sumber yang tidak dapat disahkan berisiko mengelirukan masyarakat serta menjejaskan keyakinan terhadap institusi penguatkuasaan... tindakan sedemikian boleh dianggap sebagai penyebaran maklumat palsu dan fitnah,” katanya.

Sehubungan itu, SPRM menggesa mana-mana individu yang mempunyai maklumat atau bukti sahih berkaitan rasuah atau salah laku supaya membuat laporan rasmi kepada pihak berkuasa berkaitan.

"Penyaluran maklumat melalui saluran sah membolehkan siasatan dijalankan secara teratur dan adil mengikut proses undang-undang, bukannya melalui perbicaraan media atau penerbitan tanpa bukti kukuh.

“SPRM kekal komited melaksanakan mandat membanteras rasuah tanpa rasa takut atau pilih kasih, dan tidak akan terhalang oleh sebarang cubaan mencemarkan integriti atau mengganggu peranan dan fungsi suruhanjaya,” menurut kenyataan itu.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619