Pemilik kuil di Pulau Carey akan bertemu Guthrie, Sime Darby selesai isu tanah

25 Feb 2026, 1:01 AM
Pemilik kuil di Pulau Carey akan bertemu Guthrie, Sime Darby selesai isu tanah

SHAH ALAM, 25 FEB: Pemilik kuil di sekitar Pulau Carey, Kuala Langat akan mengadakan pertemuan dengan pemilik tanah ladang SD Guthrie Berhad dan Sime Darby bagi menyelesaikan isu pembinaan rumah ibadat di kawasan berkenaan.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS), V Papparaidu berkata penyelarasan perlu dibuat memandangkan sebahagian kuil terbabit tidak mendapat pengesahan kebenaran daripada pemilik tanah.

Menurutnya, pertemuan yang dijangka diadakan dalam masa terdekat itu bertujuan mencari jalan penyelesaian terbaik, selain pihaknya bersedia menerima sebarang pandangan daripada syarikat pemilik tanah.

“Lebih kurang separuh daripada 26 pihak kuil tak ada pengesahan tanah. Jadi kita akan dengar dengan semua pihak supaya tiada isu berbangkit pada masa akan datang.

“Kebanyakan kuil ini dibina puluhan tahun lalu malah ada pada era 1990-an. Dahulu terima kunjungan ramai terutama pekerja estet.

“Perkara ini perlu diselesaikan sebelum berlaku kejadian tidak diingini. Apa pun kita tunggu keputusan pemilik tanah sebelum membuat sebarang tindakan,” katanya kepada Media Selangor.

Pengerusi Bersama Jawatankuasa Khas Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Tao (LIMAS), V Papparaidu. Foto MOHD KHAIRUL HELMY/MEDIA SELANGOR

Terdahulu, Papparaidu mengadakan pertemuan dengan wakil kuil bersama Ahli Majlis Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) di pejabatnya pagi semalam bagi membincangkan isu pengurusan, pembangunan serta kebajikan rumah ibadat masing-masing.

Turut hadir wakil Malaysia Hindu Sangam (MHS) Banting yang membincangkan status kuil termasuk aspek perundangan, pentadbiran dan hala tuju pengurusan pada masa hadapan.

Awal bulan ini, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari memaklumkan LIMAS diwujudkan sebagai inisiatif memulihkan rumah ibadat serta menyelesaikan isu penempatan tidak sah di Selangor.

Beliau berkata sebelum 2008, tiada mekanisme verifikasi tersusun diwujudkan bagi menyemak kedudukan pembinaan rumah ibadat bukan Islam, sekali gus menyebabkan timbul pelbagai isu berkaitan lokasi dan status tapak yang tidak disahkan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619