Tekanan kewangan punca kes bunuh empat sekeluarga di Pahang

24 Feb 2026, 7:59 AM
Tekanan kewangan punca kes bunuh empat sekeluarga di Pahang

SHAH ALAM, 24 FEB: Tekanan hidup akibat masalah kewangan menjadi punca seorang lelaki membunuh ibu, isteri dan dua anak kandungnya dalam kejadian di Taman Cerating Damai, Kuantan pada 17 Februari lalu.

Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman, berkata kejadian kira-kira jam 7 pagi itu dipercayai berlaku secara spontan sebelum suspek berusia 32 tahun terbabit bertindak membunuh diri.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati lelaki berkenaan tidak berada di bawah pengaruh dadah dan tidak mempunyai sejarah penyakit mental.

Katanya, polis telah merakam percakapan beberapa individu termasuk ahli keluarga, saudara-mara, jiran serta kenalan mangsa dan suspek bagi membantu siasatan.

"Berdasarkan siasatan, suspek digambarkan sebagai seorang yang merendah diri, peramah dan tidak agresif.

"Tekanan hidup hingga menyebabkan suspek kemurungan dipercayai berpunca daripada masalah kewangan dilihat sebagai motif utama kejadian.

"Ujian darah mendapati tiada kesan dadah atau penyalahgunaan bahan terlarang serta suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan sejarah penyakit mental," katanya seperti dilapor BH.

Yahaya berkata siasatan turut mendapati suspek terbabit dalam kemalangan jalan raya beberapa hari sebelum kejadian dan dikenakan saman trafik.

Menurutnya, siasatan kes masih diteruskan dan polis sedang meneliti semua kemungkinan sekiranya terdapat petunjuk baharu.

Pada masa sama, beliau menggesa orang ramai agar menghormati perasaan keluarga mangsa serta tidak menyebarkan maklumat tidak sahih di media sosial.

Difahamkan, suspek sebelum ini bekerja sebagai pemandu lori di Klang, Selangor sebelum pulang ke Kuantan bersama isterinya berusia 33 tahun dan dua anak perempuan mereka berusia dua serta lima tahun, kira-kira sebulan lalu.

Suspek dilaporkan menganggur seketika selepas pulang ke rumah ibunya di Taman Cerating Damai sebelum memperoleh pekerjaan sebagai pengawal keselamatan kira-kira seminggu sebelum kejadian.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619