LHDN: Hantar e-filing tepat masa, elak penalti dan sekatan perjalanan

24 Feb 2026, 4:46 AM
LHDN: Hantar e-filing tepat masa, elak penalti dan sekatan perjalanan

KUALA LUMPUR, 24 Feb: Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) mengingatkan pembayar cukai supaya mengemukakan e-Filing dan menjelaskan bayaran cukai sebelum tarikh akhir bagi mengelakkan penalti serta tindakan penguatkuasaan.

Pegawai LHDN Jabatan Khidmat Korporat Nur Azureen Ismail berkata musim e-Filing bagi Tahun Taksiran 2025 akan bermula 1 Mac 2026 dan pembayar cukai perlu membuat persediaan awal termasuk menyediakan dokumen sokongan.

“1 Mac 2026 dah mula. Sediakan dokumen e-Filing, hantar e-Filing tepat pada masa dan (kami) juga boleh bayar tepat pada masa.

“Selain itu elakkan sebarang bentuk penipuan atau pemalsuan dokumen kerana jika diaudit dan didapati bersalah, penalti yang dikenakan adalah tinggi. Kalau tak bayar, entah-entah ada sekatan perjalanan ataupun tindakan undang-undang lain,” katanya dalam temu bual bersama Bernama Radio hari ini.

Beliau turut memaklumkan beberapa peningkatan pelepasan cukai bagi Tahun Taksiran 2025 termasuk pelepasan tambahan bagi anak orang kurang upaya (OKU) yang dinaikkan daripada RM6,000 kepada RM8,000.

Selain itu, pelepasan gaya hidup sukan dinaikkan daripada RM500 kepada RM1,000.

Nur Azureen berkata pelepasan itu meliputi pembelian peralatan sukan, bayaran kemasukan ke fasiliti sukan, yuran penyertaan pertandingan serta keahlian gimnasium dan diperluas bagi kegunaan diri sendiri, pasangan, anak dan ibu bapa.

Beliau berkata skop pelepasan rawatan turut diperluaskan melibatkan ibu bapa serta datuk dan nenek kandung yang bermastautin di Malaysia, dengan had sehingga RM8,000 setahun.

“Pelepasan itu meliputi perbelanjaan rawatan perubatan, rawatan pergigian, pemeriksaan kesihatan penuh termasuk vaksinasi serta kos penjaga, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan,” katanya.

Beliau turut mengingatkan pembayar cukai supaya memanfaatkan pelepasan dan rebat yang layak serta merujuk Ketetapan Umum 7/2025 di laman web rasmi LHDN bagi mengelakkan kesilapan tuntutan.

“Cukai anda masa depan kita semua,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619