Fahmi ucap tahniah, Ashwad Ismail dilantik ketua pengarah penyiaran baharu

23 Feb 2026, 7:32 AM
Fahmi ucap tahniah, Ashwad Ismail dilantik ketua pengarah penyiaran baharu

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil mengucapkan tahniah dan selamat menjalankan tugas kepada bekas Ketua Pengarang Astro AWANI Ashwad Ismail yang dilantik sebagai Ketua Pengarah Penyiaran yang baharu.

Menerusi hantaran di Facebook, Fahmi turut mengucapkan tahniah kepada bekas Timbalan Ketua Setiausaha (Perancangan Strategik & Pengurusan) Kementerian Perladangan dan Komoditi Dr Sharifah Adlina Syed Abdullah yang dilantik sebagai Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran.

“Selamat Datang ke keluarga Kementerian Komunikasi!

“Semoga kepimpinan yang dibawa terus memperkukuh industri penyiaran negara, memacu inovasi serta menyampaikan maklumat yang sahih dan berintegriti demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil bersama Ketua Pengarah Penyiaran yang baharu, Ashwad Ismail serta Timbalan Ketua Pengarah, Dr Sharifah Adlina Syed Abdullah. Foto Facebook Fahmi Fadzil

Ashwad, 40, mengisi kekosongan jawatan itu bagi menggantikan Datuk Suhaimi Sulaiman yang menamatkan perkhidmatannya pada 22 Feb lepas, selepas hampir tiga tahun menerajui agensi penyiaran awam berkenaan.

Mempunyai pengalaman hampir 19 tahun bersama Astro AWANI, Ashwad merupakan sebahagian daripada pasukan pengasas sejak 2007 dan memegang jawatan Ketua Pengarang selama lima tahun, dengan beliau memimpin pembentukan hala tuju editorial serta menetapkan standard liputan berita.

Selain kerjaya di bilik berita, beliau juga pernah memegang tanggungjawab sebagai Presiden Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (ISWAMI) bagi tempoh 2023-2025, iaitu sebuah platform kerjasama media dua hala yang memperkukuh hubungan profesional antara pengamal media kedua-dua negara.

Nama Ashwad turut signifikan dalam liputan berita antarabangsa apabila beliau merupakan antara anggota delegasi Malaysia dalam Global Sumud Flotilla (GSF) yang berada di atas kapal MV Mavi Marmara pada 2010, di mana ketika itu kapal tersebut dirampas tentera Israel dalam misi Flotila Kebebasan ke Gaza.

Ashwad merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Politik dan Kerajaan daripada Universiti Utara Malaysia (UUM) serta mempunyai Diploma Pengurusan Penyiaran daripada Malaysia Institute of Integrative Media (MIIM).

Beliau juga merupakan Senior Fellow of Public Service di Lee Kuan Yew School of Public Policy, National University of Singapore dan dilantik sebagai Profesor Adjung Fakulti Sains Sosial di Universiti Islam Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619