MetMalaysia: Gempa bumi di perairan Sabah terkuat dalam tempoh 11 tahun

23 Feb 2026, 4:31 AM
MetMalaysia: Gempa bumi di perairan Sabah terkuat dalam tempoh 11 tahun

KUALA LUMPUR, 23 FEB: Gempa bumi bermagnitud 6.8 yang berlaku di perairan Sabah awal pagi tadi adalah yang terkuat pernah melanda negara ini dalam tempoh 11 tahun, kata Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) Dr Mohd Hisham Mohd Anip.

Beliau berkata berdasarkan rekod jabatan itu, gegaran terkuat direkodkan di Malaysia sebelum ini ialah bermagnitud 6.0 di Ranau, Sabah yang berlaku pada 5 Jun 2015.

Gempa bumi yang berlaku 11 tahun lepas itu mengorbankan 18 nyawa dan kekal sebagai antara kejadian paling diingati dalam lipatan sejarah negara.

Mengulas mengenai kejadian hari ini, Mohd Hisham berkata gempa di perairan Sabah berlaku berikutan kedudukan negeri itu yang berhampiran kawasan Lingkaran Api Pasifik, iaitu zon aktif gempa bumi akibat pergerakan plat kerak bumi.

"MetMalaysia masih menjalankan pemantauan rapi dan setakat ini, tiada sebarang gempa susulan direkodkan," katanya kepada Bernama.

Mohd Hisham juga berkata MetMalaysia akan terus memantau secara berterusan aktiviti seismik di kawasan terbabit.

"Memandangkan pusat gempa berada jauh di bawah permukaan bumi, iaitu pada kedalaman 678 kilometer, hanya gegaran lemah dapat dirasai oleh orang ramai," katanya.

Terdahulu, MetMalaysia memaklumkan bahawa gempa bumi itu, yang melanda perairan Sabah pada 12.57 tengah malam tadi, tidak membawa sebarang ancaman tsunami.

Pusat gempa itu terletak kira-kira 49 kilometer ke barat Kudat, Sabah dan gegaran dirasai di beberapa kawasan di negeri berkenaan selain Sarawak serta Semenanjung Malaysia.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619