JPJ arah laporan polis selepas insiden mercun di Bandar Tasik Puteri

23 Feb 2026, 2:38 AM
JPJ arah laporan polis selepas insiden mercun di Bandar Tasik Puteri

SHAH ALAM, 23 FEB: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor mengarahkan laporan polis dibuat selepas pegawai penguat kuasanya menjadi sasaran balingan mercun oleh sekumpulan penunggang motosikal di Bandar Tasik Puteri, Rawang.

Pengarah JPJ Selangor, Azrin Borhan berkata pihaknya mengambil maklum rakaman video kejadian yang tular di media sosial dan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak wajar.

“Perbuatan itu adalah satu tindakan yang tidak sepatutnya berlaku walau apa juga alasan diberikan, lebih-lebih lagi dalam bulan Ramadan.

“Tiada kecederaan dilaporkan membabitkan pegawai bertugas dan kami sedang meneliti tindakan lanjut yang perlu diambil.

“Saya telah mengarahkan pegawai terlibat membuat laporan polis,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Difahamkan kejadian berlaku kira-kira 10 malam Jumaat ketika pegawai terbabit menjalankan rondaan Ops Tahun Baharu Cina (TBC) di Lebuhraya Kuala Lumpur-Kuala Selangor (LATAR).

Sebelum insiden itu, seorang penunggang motosikal ditahan kerana tidak memakai topi keledar. Pemeriksaan mendapati individu berkenaan tidak memiliki lesen memandu dan kenderaan digunakan tidak mempunyai perlindungan insurans.

Ketika saman dikeluarkan, beberapa penunggang motosikal lain dipercayai membaling mercun ke arah kumpulan penguat kuasa tersebut.

Sementara itu, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak memaklumkan setakat ini belum menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619