Karipap RM10? KPDN keluar notis pengesahan kepada peniaga

22 Feb 2026, 5:05 AM
Karipap RM10? KPDN keluar notis pengesahan kepada peniaga

SHAH ALAM, 22 FEB: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Kuala Lumpur (KPDN WPKL) mengeluarkan notis kepada sebuah gerai di Bazar Ramadan Taman Tasik Permaisuri bagi mendapatkan penjelasan berhubung harga karipap yang dijual pada RM2.50 sebiji.

Unit Media KPDN WPKL memaklumkan sepasukan pegawai penguat kuasa telah menjalankan siasatan susulan di gerai berkenaan selepas menerima aduan mengenai karipap kentang yang dijual pada harga tersebut.

Menurutnya, seorang lelaki tempatan yang mendakwa sebagai pekerja gerai memaklumkan harga itu adalah sama seperti tahun 2025 dan tiada kenaikan dibuat pada tahun ini walaupun pembekal karipap sejuk beku telah menaikkan harga.

"Sehubungan itu, satu Notis Pengesahan Maklumat Barangan (NPMB) di bawah Seksyen 21 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 telah diserahkan melibatkan lima SKU iaitu Karipap Kentang, Sardin, Ayam, Daging dan Daging BP.

"Pihak yang disiasat diberi tempoh tiga (3) hari bekerja sehingga 25 Februari 2026 untuk mengemukakan maklum balas,” menurut kenyataan itu menerusi hantaran di Facebook malam tadi.

Terdahulu, tular satu hantaran di media sosial yang mengkritik harga RM10 bagi empat biji karipap di bazar berkenaan.

Bagaimanapun, kementerian mengesahkan tanda harga bagi setiap jenis karipap dipamerkan dengan jelas.

“KPDN WPKL akan terus menjalankan pemantauan bagi memastikan peniaga mematuhi peraturan dan perundangan sedia ada demi melindungi kepentingan pengguna,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619