Isu saham Azam Baki: Siasatan perlu bebas dan telus, hasil didedah kepada umum

20 Feb 2026, 12:54 AM
Isu saham Azam Baki: Siasatan perlu bebas dan telus, hasil didedah kepada umum

SHAH ALAM, 20 FEB: Penubuhan jawatankuasa khas bagi menyiasat isu melibatkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki perlu dilaksanakan secara bebas dan telus, dengan hasil siasatan didedahkan kepada umum.

Penganalisis politik, Prof Madya Dr Mazlan Ali berkata rakyat berhak mengetahui keputusan siasatan supaya proses berkenaan dapat dinilai secara terbuka sekali gus menjamin keadilan kepada semua pihak terlibat.

“Saya bersetuju dengan pendirian Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bahawa siasatan perlu dijalankan mengikut peraturan sedia ada termasuk melalui siasatan dalaman oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) memandangkan Tan Sri Azam Baki ialah kakitangan awam dan bukan ahli politik.

“Kes ini bukan isu jenayah atau rasuah, sebaliknya lebih menjurus kepada etika perkhidmatan awam. Proses siasatan boleh dilakukan secara terperinci termasuk meneliti transaksi kewangan serta rekod dagangan saham melalui Bursa Malaysia,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Mazlan yang juga Pengarah Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Kuala Lumpur berkata penubuhan jawatankuasa khas itu membuktikan keazaman kerajaan untuk melaksanakan siasatan secara telus tanpa dipengaruhi tekanan awam atau pengaruh media sosial.

Dalam pada itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya merujuk sumber maklumat yang sah sebelum membentuk pandangan bagi mengelakkan penyebaran maklumat tidak tepat yang boleh menjejaskan keadilan kepada pihak terlibat.

Sebelum ini, Anwar berkata sebarang aduan atau tindakan yang diambil terhadap mana-mana pegawai atau agensi kerajaan mesti berasaskan undang-undang serta melalui proses siasatan yang teliti, bukan hukuman tanpa siasat atau dorongan politik.

Beliau berkata penyelesaian sesuatu isu seharusnya berlandaskan undang-undang dan sekiranya terdapat aduan yang berasas, ia perlu dibawa ke mahkamah serta diproses sebagaimana kes yang sedang dibicarakan melibatkan SPRM.

Bloomberg dalam laporan sebelum ini mendakwa Azam memiliki saham dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan berdasarkan pemfailan korporat.

Bagaimanapun, Azam pada sidang media baru-baru ini menegaskan bahawa pegangan saham miliknya bernilai RM800,000 dalam sebuah syarikat perkhidmatan kewangan dibuat secara telus dan mengikut prosedur.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619