Dua pengedar dadah ditahan di lebuh raya, rampas syabu RM1.56 juta

19 Feb 2026, 7:12 AM
Dua pengedar dadah ditahan di lebuh raya, rampas syabu RM1.56 juta

SHAH ALAM, 19 FEB: Polis menumpaskan kegiatan sindiket pengedaran dadah dengan penahanan dua rakan sekampung yang dipercayai membawa syabu bernilai kira-kira RM1.56 juta menggunakan sebuah Perodua Bezza.

Kedua-dua suspek berusia lingkungan 30-an itu ditahan pada 12 Februari lalu di Kilometer (KM) 236.9 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Pedas, Rembau, hasil risikan Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Kontinjen Negeri Sembilan bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, lapor Berita Harian.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad, berkata siasatan awal mendapati suspek dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’ bagi mengedar dadah seberat kira-kira 30.6 kilogram (kg) di sekitar negeri selatan tanah air.

“JSJN Negeri Sembilan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Rembau serta dibantu Unit Kereta Peronda Lebuhraya (EMPV) JSPT Bukit Aman melancarkan operasi susulan maklumat dan risikan berhubung aktiviti pengedaran dadah yang dipercayai didalangi warga tempatan.

“Bertindak atas maklumat tersebut, pasukan menahan sebuah Perodua Bezza dinaiki dua lelaki tempatan di tepi lebuh raya,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut menemui dua guni plastik mengandungi 15 bungkusan teh Cina setiap satu yang disembunyikan di bahagian but kenderaan.

“Hasil pemeriksaan membawa kepada rampasan 30 bungkusan berisi bahan kristal disyaki syabu seberat 30,601 gram dengan anggaran nilai RM1.56 juta.

“Kuantiti itu dipercayai mampu menampung kira-kira 30,000 penagih dan berpotensi memberi impak besar kepada masyarakat sekiranya berjaya dipasarkan,” katanya.

Beliau berkata, dadah berkenaan dipercayai diperoleh dari Puchong, Selangor dan kegiatan itu dipercayai aktif sejak awal tahun ini dengan menyasarkan pasaran di negeri-negeri selatan.

Semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kesalahan narkotik serta kes memiliki barang curi.

“Kedua-dua suspek yang berasal dari Johor itu dipercayai bertindak sebagai ‘transporter’. Mereka masing-masing bekerja sebagai mekanik dan nelayan.

“Hasil ujian saringan air kencing mendapati kedua-duanya positif methamphetamine. Polis percaya masih terdapat ahli sindiket lain dan siasatan lanjut sedang dijalankan,” katanya.

Tambah beliau, kedua-dua suspek direman tujuh hari bermula 13 Februari sebelum tempoh reman disambung empat hari lagi bagi membantu siasatan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619