Polis rampas vape dan cecair bernilai lebih RM8 juta

16 Feb 2026, 6:30 AM
Polis rampas vape dan cecair bernilai lebih RM8 juta

SHAH ALAM, 16 FEB: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merampas produk rokok elektronik dan barangan berkaitan bernilai lebih RM8 juta menerusi Op E-Cig Mega yang dilaksanakan di seluruh negara sejak 10 Februari lalu.

Operasi di 13 negeri itu dijalankan dengan kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), pihak berkuasa tempatan (PBT) serta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), lapor Berita Harian.

Timbalan Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Bukit Aman, Datuk Fisol Salleh, berkata operasi berkenaan menyasarkan premis yang terlibat dalam penjualan dan pengedaran produk vape.

“Seramai 2,140 pegawai dan anggota daripada pelbagai agensi digerakkan dalam operasi membabitkan 154 premis yang dikenal pasti.

“Daripada jumlah itu, 141 premis telah diperiksa dengan nilai keseluruhan rampasan berjumlah RM8.876 juta, melibatkan cecair rokok elektronik bernilai RM4.6 juta dengan kuantiti hampir satu juta liter serta peranti vape bernilai RM4.11 juta, manakala selebihnya adalah peralatan berkaitan,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut mengeluarkan kompaun berjumlah RM330,200 hasil pemeriksaan yang dijalankan.

Seramai 181 individu disaring sepanjang operasi berkenaan dengan empat tangkapan dibuat, termasuk satu kes menghalang penjawat awam di Johor serta dua kes berkaitan kesalahan imigresen.

“Operasi ini dilaksanakan berdasarkan risikan polis dengan penyelarasan bersama Bahagian Penguatkuasaan KKM.

“Walaupun terdapat kes sebelum ini membabitkan cecair vape yang dikesan mengandungi bahan terlarang, tiada kes berkaitan dadah dikesan dalam operasi kali ini,” katanya.

Beliau menegaskan penjualan produk vape kepada individu berusia bawah 18 tahun adalah dilarang mengikut peraturan KKM dan usaha penguatkuasaan akan terus dipertingkat bagi mengekang akses dalam kalangan remaja.

“Kita akan terus melaksanakan penguatkuasaan secara bersepadu bersama agensi berkaitan bagi menangani penularan produk vape, khususnya dalam kalangan pelajar sekolah,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619