Selangor FC struktur semula organisasi - Tengku Amir Shah

15 Feb 2026, 1:08 PM
Selangor FC struktur semula organisasi - Tengku Amir Shah
Selangor FC struktur semula organisasi - Tengku Amir Shah
Selangor FC struktur semula organisasi - Tengku Amir Shah

KUALA LUMPUR, 15 FEB: Selangor FC melaksanakan penstrukturan semula bagi memperkasakan organisasi dan pembangunan akar umbi daripada peringkat sekolah dan belia sehingga pasukan utama.

Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah yang juga Pengerusi Selangor FC berkata langkah itu bertujuan memastikan sistem bola sepak negeri berfungsi secara menyeluruh dan berkesan di samping memastikan setiap keputusan dibuat demi kemajuan sukan tersebut dan bukan untuk kepentingan lain.

"Beta percaya bola sepak hari ini bukan sekadar apa yang berlaku di atas padang, ia adalah tentang membina sebuah institusi yang kukuh membentuk komuniti dan persatuan yang mengeratkan hubungan emosi kelab dan penyokong.

"Dalam menyelesaikan visi dan wawasan ini pendekatan profesional akan terus dititikberatkan dalam pengurusan," katanya pada Majlis Pelancaran dan Jualan Buku Gemilang: Sejarah Perjalanan Bola Sepak Selangor sempena Hari Legasi Merah Kuning di sini hari ini.

Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan berangkat ke majlis itu.

Tengku Amir Shah berkata bola sepak mesti diuruskan secara moden, mampan dan berdaya saing, tanpa mengabaikan tradisi dan identiti.

Selain itu, baginda menyatakan tidak berkenan untuk mengisi kekosongan jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

"Oh tidak, saya tidak berminat (jawatan Presiden FAM). Saya berminat dengan FAS dan banyak yang kita mahu capai buat masa ini," katanya.

Sebelum ini, Ketua Pegawai Eksekutif Kelantan The Real Warriors (KTRW) Datuk Mohd Irwan Rizal berkata selain Tengku Amir Shah, antara calon terbaik untuk jawatan tersebut termasuk Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Pemangku Sultan Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Sementara itu, Buku Gemilang yang menceritakan Sejarah Perjalanan Bola Sepak Selangor dan kronologi skuad Gergasi Merah dijual dengan harga RM200 dan keuntungan jualan akan disalurkan sepenuhnya kepada tabung kebajikan veteran skuad Selangor.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619