Keracunan ubat di Kajang: JKNS gesa ibu bapa simpan ubat jauh dari anak

14 Feb 2026, 1:22 PM
Keracunan ubat di Kajang: JKNS gesa ibu bapa simpan ubat jauh dari anak

KAJANG, 14 FEB: Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengingatkan ibu bapa supaya menyimpan ubat di tempat selamat dan tidak memberikan ubat tanpa preskripsi susulan insiden keracunan melibatkan tiga kanak-kanak di Kajang pada 9 Februari lalu.

Dalam kejadian itu, seorang kanak-kanak meninggal dunia manakala dua lagi sedang menerima rawatan rapi di hospital dan berada dalam keadaan stabil dengan perkembangan klinikal yang baik.

Siasatan awal mendapati ketiga-tiga kanak-kanak tersebut telah diberikan sejenis cecair yang disangka sebagai ubat batuk, namun sebenarnya merupakan ubat terkawal yang memerlukan preskripsi dan pemantauan doktor. Ubat berkenaan diperoleh daripada sebuah klinik swasta.

"Kesemua mangsa telah dibawa ke hospital berhampiran untuk rawatan kecemasan.

"Siasatan lanjut sedang dijalankan bersama agensi berkaitan dan pemantauan terhadap dua mangsa yang masih dirawat diteruskan," menurut kenyataan JKNS.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya menyimpan ubat-ubatan jauh daripada capaian kanak-kanak, mengekalkannya dalam bekas asal yang berlabel jelas serta memastikan jenis dan kegunaan ubat sebelum diberikan.

JKNS turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa dan memaklumkan rawatan terbaik akan terus diberikan kepada kanak-kanak yang masih dirawat.

Pada 11 Februari lepas, polis menahan seorang wanita kerana disyaki memberi tiga anaknya minum cecair berbahaya hingga menyebabkan seorang daripadanya meninggal dunia.

Susulan itu, siasatan awal polis berhubung kes mendapati perbuatan itu bukan disengajakan.

Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar berkata siasatan kini menjurus kepada pengabaian yang dipercayai berpunca daripada perbuatan cuai.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619