Bekalan makanan asas stabil menjelang Tahun Baharu Cina, Ramadan – KPKM

14 Feb 2026, 1:03 PM
Bekalan makanan asas stabil menjelang Tahun Baharu Cina, Ramadan – KPKM

PUTRAJAYA, 14 FEB: Sumber pengeluaran bekalan barangan makanan asas seperti telur, daging ayam dan lembu, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan di seluruh negara adalah stabil dan mencukupi menjelang perayaan Tahun Baharu Cina dan bulan Ramadan.

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan tumpuan diberikan kepada pengurusan dan pemerkasaan pada peringkat sumber pengeluaran bagi memastikan kesinambungan bekalan sentiasa terjamin meskipun terdapat jangkaan peningkatan permintaan yang tinggi.

"KPKM komited dalam memastikan ketersediaan bekalan makanan negara berada pada tahap optimum bagi menampung keperluan domestik sepanjang musim perayaan ini," menurut KPKM dalam kenyataan hari ini.

Bermula dari 1 Jan 2026 hingga 8 Feb lepas, sebanyak 478 program Jualan Agro Madani (JAM) telah dianjurkan di seluruh negara.

Melalui program JAM, rakyat dapat membeli barangan keperluan asas yang terpilih pada harga 10 hingga 30 peratus lebih rendah berbanding harga pasaran setempat, menurut KPKM.

Bersempena dengan Tahun Baharu Cina, Ramadan dan Pra-Syawal (Februari dan Mac 2026), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) bakal menganjurkan 572 program JAM di seluruh negara melibatkan 430 program di outlet peruncitan FAMA dan 142 program di premis kerajaan dan kawasan perumahan terpilih.

"Jualan ini menawarkan bekalan sayur, buah, ikan, telur, barangan runcit dan keperluan lain dengan harga yang lebih rendah untuk membantu meringankan beban kos sara hidup pengguna bersempena dengan musim perayaan dan Ramadan, serta kerajaan akan memastikan setiap rakyat mendapat akses kepada bekalan makanan yang mencukupi sepanjang tempoh perayaan tanpa kebimbangan terhadap isu ketersediaan bekalan di pasaran," menurut KPKM.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619