PKNS Selangor Masters 2026: Nicklaus menang playoff, Khavish terbaik Malaysia

14 Feb 2026, 10:14 AM
PKNS Selangor Masters 2026: Nicklaus menang playoff, Khavish terbaik Malaysia

PETALING JAYA, 14 FEB: Hasrat pemain negara, Khavish Varadan, untuk muncul juara Kejohanan PKNS Selangor Masters 2026 tidak kesampaian apabila terpaksa berpuas hati di tempat kedua selepas tewas dalam aksi penentuan dramatik di Kelab Golf Seri Selangor, hari ini.

Khavish tunduk kepada pemain Singapura, Nicklaus Chiam, yang memastikan kejuaraan menerusi pukulan birdie pada playoff ketiga.

Nicklaus menamatkan saingan dengan tiga pukulan di bawah par untuk mengatasi Khavish, sekali gus muncul juara edisi ke-13 kejohanan itu.

Pemain golf dari Singapura Nicklaus Chiam menjuarai kejohanan PKNS Selangor Masters 2026 di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 14 Februari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Sebelum itu, playoff pertama menyaksikan Nicklaus dan Khavish bersaing bersama pemain Thailand, Runchanapong Youprayong selepas ketiga-tiga mereka terikat dengan 274 pukulan keseluruhan.

Kemenangan itu membolehkan Nicklaus membawa pulang wang tunai USD30,625 serta trofi kejuaraan.

Walaupun terlepas gelaran juara, Khavish tetap mencuri tumpuan apabila dinobatkan sebagai Pemain Profesional Malaysia Terbaik dan membawa pulang wang tunai RM10,000.

Hadiah disampaikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Dr Ahmad Fadzli Ahmad Tajuddin, diiringi Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan (Usaha Sama Strategik) PKNS, Ir Md Kamarzan Md Rais.

Kejohanan yang berlangsung selama empat hari bermula 11 Februari itu menawarkan hadiah keseluruhan AS$175,000 (lebih RM685,000).

Sebanyak 144 pemain profesional mengambil bahagian membabitkan 80 pemain Jelajah Pembangunan Asia (ADT), 40 pemain Jelajah Professional Golf of Malaysia (PGM) dan 24 pemain jemputan.

Aksi Pemain golf Negara Khavish Varadan sempena kejohanan PKNS Selangor Masters 2026 di Kelab Golf Seri Selangor, Petaling Jaya pada 14 Februari 2026. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619