JPJ Selangor periksa 13,484 bas, 277 diambil tindakan

14 Feb 2026, 1:21 AM
JPJ Selangor periksa 13,484 bas, 277 diambil tindakan

SHAH ALAM, 14 FEB: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Selangor memeriksa sebanyak 13,484 bas ekspres dan bas persiaran di seluruh negeri ini sepanjang tahun lalu, dengan 277 daripadanya dikenakan tindakan atas pelbagai kesalahan.

Pengarahnya, Azrin Borhan berkata daripada jumlah keseluruhan itu, 11,575 adalah bas ekspres manakala 1,909 lagi bas persiaran.

"Antara kesalahan paling banyak direkodkan ialah kesalahan teknikal seperti lampu dan isyarat tidak berfungsi sebanyak 107 kes.

"Turut dikesan, 80 kes tiada lesen perkhidmatan kenderaan awam (PSV) serta 57 kes tiada lesen memandu kompeten (CDL)," katanya pada sidang media di Terminal 17, di sini, semalam seperti dilapor Harian Metro.

Menurut beliau, pihaknya turut mengesan 33 kes membabitkan tiada lesen kenderaan motor (LKM) dan 33 kes tiada insurans.

"Bagi kesalahan lain, terdapat 10 kes membabitkan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) selain dua berkaitan langgar syarat permit," katanya.

Mengulas lanjut, Azrin berkata, pihaknya turut merekodkan 36 kes tidak memakai tali pinggang keselamatan membabitkan penumpang.

Selain itu, katanya, tiga kes dikesan memandu di lorong kanan secara berterusan dan empat kes tayar botak.

"Terdapat juga satu kes menggunakan telefon bimbit ketika memandu," katanya.

Beliau berkata, secara keseluruhan sebanyak 712 notis dikeluarkan merangkumi notis saman, notis arah periksa serta notis larangan penggunaan kenderaan.

"Setiap kesalahan bergantung kepada jenisnya. Jika membabitkan pemanduan berbahaya atau tidak mengikut peraturan, tindakan dikenakan terhadap pemandu.

"Manakala kesalahan berkaitan dokumen seperti LKM akan dirujuk kepada pengusaha bas," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619