Sultan Selangor, Permaisuri berkenan hadiri Forum Perdana anjuran YIDE

12 Feb 2026, 3:19 PM
Sultan Selangor, Permaisuri berkenan hadiri Forum Perdana anjuran YIDE
Sultan Selangor, Permaisuri berkenan hadiri Forum Perdana anjuran YIDE
Sultan Selangor, Permaisuri berkenan hadiri Forum Perdana anjuran YIDE

SHAH ALAM, 12 FEB: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj dan DYMM Tengku Permaisuri Selangor Tengku Permaisuri Hajah Norashikin berkenan berangkat ke Forum Perdana Ehwal Islam anjuran Yayasan Islam Darul Ehsan (YIDE) malam ini.

Berlangsung di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, forum bertajuk ‘Kelahiran Insan Riayah’ menampilkan Mufti Selangor Dato’ Dr Anhar Opir dan Timbalan Mufti Pahang Dato’ Badli Shah Alauddin sebagai panel.

Selesai majlis, Sultan Sharafuddin berkenan menerima sumbangan cek berjumlah lebih RM1.7 juta dari beberapa rakan strategik YIDE bagi menyokong usaha agensi itu dalam memartabatkan syiar Islam.

Antara penyumbang ialah Affin Islamic Bank Berhad berjumlah RM330,000 dan Westports Malaysia Sdn Bhd sebanyak RM500,000 untuk pembinaan Kompleks Asrama Anak Yatim Pulau Indah.

Duli Yang Maha Mulia Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj berkenan menerima cek cura sumbangan Malaysia Airports Holdings Berhad untuk Pusat Dialisis KLIA, Masjid Sultan Abdul Samad daripada Pengurus Besar Operasi Terminal 2 KLIA, Shahrunizam Abdul Jamil selepas majlis Forum Perdana Ehwal Islam di Dewan Syarahan dan Muzakarah Islam Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 12 Februari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Selain itu Malaysia Airports Holdings Berhad menyumbang RM850,000 untuk Pusat Dialisis KLIA Masjid Sultan Abdul Samad serta RM100,000 daripada Teraju Ekonomi Asnaf bagi menyokong pembangunan Kompleks Asrama Anak Yatim.

Sementara itu, YIDE berkata forum sempena sambutan ke-15 tahun agensi itu menjadi platform memperkukuh kefahaman ummah terhadap konsep tanggungjawab sosial, kebajikan dan kesejahtera anak yatim.

“Kandungan forum memfokuskan konsep riayah sebagai asas pemeliharaan dan tanggungjawab sosial terhadap anak yatim merangkumi aspek kebajikan, pendidikan, perlindungan hak serta pembentukan sahsiah. “

Kupasan turut menekankan peranan institusi, masyarakat dan individu dalam memastikan anak yatim dibesarkan dalam persekitaran selamat, sejahtera dan berteraskan nilai Islam,” katanya menerusi kenyataan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619