Darjah Satu usia enam tahun: Kesediaan murid perlu dilihat secara menyeluruh - EXCO

12 Feb 2026, 9:02 AM
Darjah Satu usia enam tahun: Kesediaan murid perlu dilihat secara menyeluruh - EXCO

SHAH ALAM, 12 FEB : Kesediaan kanak-kanak berusia enam tahun memasuki Tahun Satu tidak wajar dinilai hanya pada usia tersebut, sebaliknya perlu diambil kira secara menyeluruh.

EXCO Kebajikan Anfaal Saari menekankan bahawa aspek paling penting adalah kesiapsiagaan ibu bapa dalam menyediakan anak mereka lebih awal sebelum melangkah ke alam persekolahan.

EXCO Kebajikan Anfaal Saari ditemui selepas Sesi Libat Urus Jaringan Penjagaan Selangor di IDCC, Shah Alam pada 12 Februari 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Persediaan itu perlu bermula seawal ibu mengandung dengan memastikan pemakanan mencukupi dan persekitaran yang selamat, diikuti penjagaan nutrisi serta rangsangan perkembangan selepas bayi dilahirkan.

“Kesediaan anak untuk masuk ke sekolah bukan hanya dinilai pada usia enam tahun. Kita perlu melihat perjalanan perkembangan mereka sepanjang lima tahun pertama termasuk 1,000 hari pertama kehidupan,” katanya ketika ditemui media selepas Sesi Libat Urus Jaringan Penjagaan Selangor di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC) di sini hari ini.

Beliau turut mengambil maklum kebimbangan pengusaha tadika swasta mengenai tempoh penilaian perkembangan atau ‘milestone’ kanak-kanak yang berbeza mengikut fasa usia.

“Perkembangan kanak-kanak berusia sifar hingga dua tahun merupakan satu fasa berbeza berbanding usia tiga hingga lima atau enam tahun, justeru pencapaian mereka tidak boleh disamaratakan.

“Sekiranya kita menjangkakan pada usia enam tahun semua kanak-kanak sudah menguasai kemahiran 3M (membaca, menulis dan mengira), bagaimana pula dengan mereka yang masih ketinggalan dan perlu menyesuaikan diri di aliran pendidikan rendah,” jelas beliau.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim beramah mesra dengan murid-murid ketika meninjau suasana hari pertama sesi persekolahan 2025/2026 di Sekolah Kebangsaan Kampung Bharu pada 17 Februari 2025. Foto Facebook Anwar Ibrahim

Pada 20 Januari lalu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan pendidikan prasekolah akan bermula pada usia lima tahun, manakala kemasukan ke darjah satu dibuka kepada kanak-kanak berumur enam tahun mulai tahun hadapan.

Pengumuman tersebut dibuat semasa Majlis Peluncuran Rancangan Pendidikan Negara 2026–2035, namun penyesuaian itu masih belum diwajibkan kepada ibu bapa.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619