Inflasi kekal rendah, pengangguran terkawal cerminkan ekonomi stabil

10 Feb 2026, 10:09 AM
Inflasi kekal rendah, pengangguran terkawal cerminkan ekonomi stabil

SHAH ALAM, 10 FEB: Inflasi negara kekal rendah pada paras 1.4 peratus bagi tahun 2025, manakala kadar pengangguran stabil pada 2.9 peratus setakat November 2025, mencerminkan ekonomi domestik yang terkawal.

Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata prestasi itu menunjukkan keberkesanan dasar kerajaan dalam mengurus kos sara hidup dan memastikan peluang pekerjaan terus tersedia kepada rakyat, meskipun berdepan ketidaktentuan ekonomi global dan cabaran geopolitik.

"Inflasi yang rendah membantu mengekalkan kuasa beli pengguna, manakala kadar pengangguran yang stabil mencerminkan pertumbuhan guna tenaga yang konsisten, khususnya dalam sektor perkhidmatan dan pembuatan yang kekal sebagai penyumbang utama kepada aktiviti ekonomi negara," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan perbahasan usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi Kementerian Ekonomi di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam perkembangan berkaitan, prestasi pelaburan negara turut menunjukkan trend positif apabila nilai pelaburan yang diluluskan bagi sembilan bulan pertama 2025 meningkat 13.2 peratus kepada RM285.2 bilion berbanding RM251.9 bilion bagi tempoh sama tahun sebelumnya.

Akmal Nasrullah berkata peningkatan pelaburan itu, termasuk dalam sektor teknologi tinggi, elektrik dan elektronik (E&E) serta pusat data, membantu mengukuhkan asas ekonomi negara di samping menyokong penciptaan pekerjaan dan kestabilan pasaran buruh.

Mengulas hala tuju jangka sederhana, beliau berkata kestabilan inflasi, pasaran pekerjaan yang mampan serta aliran pelaburan yang kukuh akan terus menjadi teras penting perancangan ekonomi kerajaan.

Katanya, perkara itu menjadi asas pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13) bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara yang inklusif dan berdaya tahan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619