RMK13: RM16 juta bantu pekebun kecil hasilkan lada premium

9 Feb 2026, 1:24 PM
RMK13: RM16 juta bantu pekebun kecil hasilkan lada premium

KUALA LUMPUR, 9 FEB: Kerajaan meluluskan peruntukan RM16 juta bagi Program Kemampanan Penanaman Lada tahun ini di bawah Rolling Plan Pertama (RP1), Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13), kata Menteri Perladangan dan Komoditi (KPK) Datuk Seri Dr Noraini Ahmad.

Beliau berkata program itu memberi tumpuan kepada pelaksanaan skim penanaman baharu yang memfokuskan kepada pengeluaran lada premium, bertujuan membantu pekebun mengusahakan kawasan penanaman lada secara lebih mampan dan berdaya saing.

“Bantuan yang disalurkan merangkumi penyediaan input pertanian seperti baja dan dolomit, pemberian insentif keratan lada serta tiang sokongan, di samping khidmat nasihat teknikal.

"KPK sentiasa prihatin terhadap cabaran yang dihadapi oleh para pekebun kecil lada, terutama kenaikan kos input pertanian yang menjejaskan pendapatan dan daya saing dalam pasaran,” katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KPK di Dewan Rakyat hari ini.

Noraini berkata KPK melalui Lembaga Lada Malaysia (MPB) juga menekankan aspek peningkatan kapasiti dan pengetahuan pekebun bagi memastikan mereka sentiasa peka terhadap perkembangan terkini dalam aspek agronomi tanaman, khususnya berkaitan amalan penanaman lada yang baik selaras dengan pensijilan Amalan Pertanian Baik Malaysia (MyGAP).

Beliau berkata KPK menyedari cabaran berkaitan kos input pertanian khususnya baja yang semakin meningkat.

Oleh itu, MPB menggalakkan pekebun supaya memberi fokus kepada penghasilan lada premium seperti Lada Berkualiti Eksport dan Lada Putih Krim yang mampu mencapai harga sehingga RM65,000 satu tan di pasaran, katanya.

“Pendekatan ini bertujuan membolehkan pekebun menikmati pulangan yang lebih baik melalui harga premium yang ditawarkan, di samping memastikan bekalan lada premium yang terjamin dan konsisten bagi memenuhi permintaan pasaran peringkat atasan,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619