Anak muda terajui Kampung Tanjung Jawa, sasar pelancongan budaya

9 Feb 2026, 6:00 AM
Anak muda terajui Kampung Tanjung Jawa, sasar pelancongan budaya

SHAH ALAM, 9 FEB: Pada usia 26 tahun, Muhammad Isa Md Zakaria melangkah ke satu amanah besar apabila dilantik sebagai Ketua Kampung Tanjung Jawa, Sabak Bernam, sekali gus membuktikan usia muda bukan penghalang untuk berkhidmat kepada masyarakat.

Usahawan muda itu mengakui pelantikan berkenaan hadir dengan perasaan bercampur baur antara teruja dan gementar, memandangkan tanggungjawab sebagai ketua kampung merupakan cabaran baharu dalam hidupnya.

“Saya rasa sangat bertuah dan bangga, tetapi pada masa sama ada rasa takut kerana amanah ini besar. Ketua kampung sebelum ini merupakan warga emas dan gaya kepimpinannya lebih ‘old school’.

“Kalau diberi peluang, saya mahu membawa pendekatan baharu. Kampung kami kecil, kira-kira 600 penduduk sahaja, tetapi mungkin boleh diteroka dari segi pelancongan kebudayaan,” katanya.

Menurut Muhammad Isa, pencapaian seseorang pemimpin tidak seharusnya dinilai berdasarkan usia semata-mata, sebaliknya pada kesungguhan dan usaha yang dilakukan.

Beliau berkata demikian dengan merujuk kisah Sultan Muhammad Al-Fateh yang berjaya menawan Istanbul ketika berusia 21 tahun.

“Ramai memandang rendah kerana usia muda, tetapi dengan usaha dan keberanian, sesuatu yang besar mampu dicapai,” katanya.

Terdahulu, Muhammad Isa menerima watikah pelantikan pada Majlis Apresiasi Jawatankuasa Pembangunan Kampung (JPKK) 2025 dan Penyampaian Watikah Pelantikan Pengerusi JPKK 2026/2027 di Pusat Konvensyen Ideal (IDCC), di sini, malam tadi.

Watikah tersebut disampaikan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari, dan majlis itu turut dihadiri EXCO Kemajuan Desa, Datuk Rizam Ismail.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619