Perlombongan Bitcoin haram: Lima premis diserbu di Bukit Beruntung

8 Feb 2026, 9:02 AM
Perlombongan Bitcoin haram: Lima premis diserbu di Bukit Beruntung
Perlombongan Bitcoin haram: Lima premis diserbu di Bukit Beruntung
Perlombongan Bitcoin haram: Lima premis diserbu di Bukit Beruntung

SHAH ALAM, 8 FEB: Lima premis perniagaan di sekitar Bukit Beruntung diserbu dalam operasi Jabatan Penguatkuasaan Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) selepas dikesan menjalankan aktiviti perlombongan Bitcoin secara haram.

MPHS memaklumkan operasi bersepadu itu dijalankan bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) susulan aduan orang awam berhubung gangguan bekalan elektrik yang dipercayai berpunca daripada penggunaan elektrik berlebihan dan tidak terkawal.

Anggota penguat kuasa Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) bersama Tenaga Nasional Berhad (TNB) menjalankan pemeriksaan dan sitaan peralatan perlombongan Bitcoin haram dalam operasi bersepadu di sekitar Bukit Beruntung. Foto Facebook MPHS

Menurut kenyataan itu, hasil pemeriksaan mendapati kesemua lima premis berkenaan menjalankan perlombongan Bitcoin tanpa kebenaran atau lesen sah, sekali gus melanggar peraturan serta syarat penggunaan bekalan elektrik.

“Tindakan sitaan peralatan perlombongan Bitcoin telah dilaksanakan ke atas semua premis terlibat sebagai langkah penguatkuasaan mengikut peruntukan undang-undang dan tatacara yang berkuat kuasa,” katanya.

MPHS dan TNB menegaskan sebarang penggunaan elektrik berskala besar perlu mendapat kelulusan pihak berkuasa serta mematuhi syarat lesen, pendaftaran perniagaan dan keperluan teknikal bekalan elektrik.

Majlis Perbandaran Hulu Selangor (MPHS) menyita peralatan perlombongan Bitcoin haram dalam operasi bersepadu di sekitar Bukit Beruntung. Foto Facebook MPHS

“Kami tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang menjalankan aktiviti menyalahi undang-undang dan tindakan tegas akan diambil,” menurut kenyataan bersama kedua-dua agensi itu.

Dalam pada itu, pemilik premis diingatkan supaya sentiasa memantau penggunaan hartanah masing-masing dan tidak membenarkan sebarang aktiviti tanpa kebenaran dijalankan.

Orang awam yang mempunyai maklumat berkaitan aktiviti perlombongan Bitcoin haram atau penggunaan elektrik secara mencurigakan digesa menyalurkan aduan kepada MPHS atau pejabat TNB berhampiran.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619