MPP Zon 4 ungguli Anugerah MPP MBSJ 2025, enam kali dinobat juara

7 Feb 2026, 12:00 AM
MPP Zon 4 ungguli Anugerah MPP MBSJ 2025, enam kali dinobat juara
MPP Zon 4 ungguli Anugerah MPP MBSJ 2025, enam kali dinobat juara
MPP Zon 4 ungguli Anugerah MPP MBSJ 2025, enam kali dinobat juara
MPP Zon 4 ungguli Anugerah MPP MBSJ 2025, enam kali dinobat juara

SUBANG JAYA, 7 FEB: Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) Zon 4 terus mengungguli Anugerah MPP Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) 2025 apabila dinobatkan sebagai juara keseluruhan buat kali keenam berturut-turut sejak 2018, pada majlis malam tadi.

Mantan Ahli Majlis Zon 4, AR Kamarul Hisham Yeop Hashim berkata kemenangan kali keenam itu menjadi kenangan bermakna dan penutup perjalanan beliau sebagai ahli majlis.

Menurut beliau, kejayaan tersebut bukan hasil usaha individu semata-mata, sebaliknya terhasil daripada kerjasama padu seluruh ahli jawatankuasa MPP serta sokongan pelbagai pihak.

“Kemenangan ini bukan usaha saya sahaja sebagai ahli majlis tetapi ia terhasil atas kerjasama semua ahli jawatankuasa MPP, persatuan penduduk termasuk agensi luar seperti Jabatan Kebajikan Masyarakat, polis dan Agensi Anti Dadah Kebangsaan,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau bersyukur dengan pencapaian itu walaupun mengakui persaingan sengit daripada MPP lain yang turut menunjukkan prestasi cemerlang.

“Alhamdulillah, berkat usaha kami menang buat kali keenam. Pada mulanya tidak sangka tetapi pada masa sama memang berharap. Apapun terima kasih MBSJ,” katanya.

Datuk Bandar Subang Jaya, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim (kiri) menyampaikan Anugerah Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) MBSJ 2025 terbaik keseluruhan kepada Ar Kamarul Hisham Yeop Hashim (tengah) di Hotel Sunway Resort, Bandar Sunway pada 6 Februari 2026. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Menjawat jawatan sebagai ahli majlis sejak 2018, AR Kamarul Hisham turut menitipkan pesanan kepada ahli majlis baharu agar sentiasa bekerja keras, bekerja secara bijaksana dan kerap turun padang bersama masyarakat.

Menurutnya, MBSJ setiap tahun menetapkan kriteria pemarkahan bagi Anugerah MPP yang boleh dijadikan panduan untuk mencapai kecemerlangan.

“Namun yang paling penting adalah sentiasa bekerjasama dengan ahli jawatankuasa dan memastikan setiap program komuniti mendapat penglibatan penduduk kerana semua ini akan dinilai,” katanya.

Terdahulu, Datuk Bandar Subang Jaya, Dato’ Amirul Azizan Abd Rahim menyampaikan hadiah kepada MPP Zon 4 yang membawa pulang wang tunai RM20,000, plak dan sijil pada majlis yang berlangsung di Hotel Sunway Resort, di sini.

Amirul Azizan berkata penganjuran anugerah itu merupakan inisiatif strategik MBSJ bagi mengiktiraf kecemerlangan, komitmen serta sumbangan berterusan MPP dalam menyokong agenda pembangunan bandar raya yang inklusif dan mampan.

Beliau berkata, MPP dilantik terdiri daripada individu berwibawa dalam kalangan komuniti setempat dan berperanan sebagai saluran komunikasi dua hala serta menyumbang secara sukarela dalam menyokong pelaksanaan dasar, program dan inisiatif bandar raya.

“Penglibatan aktif MPP menyumbang secara signifikan dalam memperkukuh pelaksanaan aktiviti kemasyarakatan, kebajikan, keselamatan dan kelestarian komuniti di peringkat akar umbi,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619