BATC 2026: Skuad wanita tersingkir di suku akhir

6 Feb 2026, 7:56 AM
BATC 2026: Skuad wanita tersingkir di suku akhir

KUALA LUMPUR, 6 FEB: Kempen skuad wanita negara pada Kejohanan Badminton Berpasukan Asia (BATC) 2026 di Qingdao, China, berakhir selepas tewas 0-3 kepada naib juara dua kali, Korea Selatan di suku akhir hari ini, iaitu kali kedua berturut-turut selepas edisi sebelum ini.

Perseorangan utama negara, K. Letshanaa turun sebagai pemain pertama di Gimnasium Qingdao Conson, namun gagal menandingi An Se Young apabila tewas 11-21, 11-21, menjadikan kekalahan ketiga berturut-turut kepada pemain nombor satu dunia itu.

Dalam perlawanan kedua, beregu wanita negara Ong Xin Yee-Carmen Ting turut gagal menemui rentak masing-masing apabila tunduk kepada Baek Ha Na-Kim Hye Jeong, 13-21, 9-21.

Korea Selatan kemudian mengesahkan tempat ke separuh akhir menerusi kemenangan straight-set oleh pemain perseorangan kedua mereka Park Ga Eun ke atas Wong Ling Ching, 21-16, 21-12.

Pengarah Kejurulatihan Perseorangan negara Kenneth Jonassen mengakui pasukan Korea Selatan sememangnya terlalu kuat buat Malaysia.

“Saya nampak beberapa perkara positif dalam pemain kita terutama di peringkat awal perlawanan tetapi apabila pemain Korea meningkatkan tahap permainan mereka, kita tidak cukup untuk lawan balik dan terus bersaing.

“Banyak yang boleh dipelajari oleh pemain muda kita daripada kejohanan ini. Kita perlu kembali dan terus berlatih serta terus mencabar batas kemampuan pemain untuk mereka mencapai tahap yang lebih tinggi,” katanya ketika dihubungi.

Dengan keputusan hari ini, pencapaian terbaik skuad wanita negara pada kejohanan tersebut kekal dua pingat gangsa yang dimenangi pada edisi 2020 dan 2022.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619