Selangor-EU perkukuh kerjasama strategik dalam pelaburan, pengurusan air

6 Feb 2026, 5:40 AM
Selangor-EU perkukuh kerjasama strategik dalam pelaburan, pengurusan air
Selangor-EU perkukuh kerjasama strategik dalam pelaburan, pengurusan air

SHAH ALAM, 6 FEB: Selangor memperkukuh peranan sebagai rakan strategik global dengan Kesatuan Eropah (EU) melalui kerjasama dalam pelaburan, pengurusan air dan pembangunan infrastruktur berdaya tahan iklim.

Dato' Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari berkata perkara itu dibincangkan ketika menerima kunjungan hormat Duta Besar Kesatuan Eropah ke Malaysia, Rafael Tristan Daerr.

“Kami membincangkan usaha memperkukuh kerjasama strategik antara EU dan Kerajaan Negeri, termasuk pengurusan air, peranan Air Selangor serta inisiatif mitigasi banjir.

“Perbincangan turut memberi tumpuan kepada potensi usaha sama EU–Selangor dalam pembangunan infrastruktur berdaya tahan iklim, selari dengan agenda kelestarian negeri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Turut hadir, EXCO Pelaburan Ng Sze Han.

Selain itu, Amirudin berkata kedua-dua pihak turut meneroka peluang perniagaan dan pelaburan, termasuk cadangan penganjuran Hari Perniagaan EU–Malaysia di Selangor.

“Kami juga membincangkan kemungkinan menganjurkan Hari Perniagaan EU–Malaysia di Selangor, yang berpotensi diadakan bersempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) pada Oktober ini,” katanya.

Dalam pertemuan tersebut, beliau berkata perbincangan turut menyentuh kehadiran pemain industri EU di Selangor seperti Airbus di Subang, selain minat EU terhadap pembangunan Selangor Aero Park.

Amirudin turut memaklumkan Duta Besar EU berkenaan memuji kejayaan Malaysia mempengerusikan ASEAN dengan tahap profesionalisme yang tinggi.

“Beliau turut menzahirkan penghargaan terhadap pencapaian utama ASEAN, termasuk kemasukan Timor-Leste sebagai anggota,” katanya.

Menurut Amirudin, kedua-dua pihak juga bertukar pandangan mengenai landskap politik serantau.

“Selangor kekal terbuka dan mengalu-alukan semua peluang perniagaan serta pelaburan yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negeri, kemajuan teknologi dan kelestarian jangka panjang,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619