Satu kluster tibi dikesan di Kota Tinggi, 804 kontak disaring, 33 positif

5 Feb 2026, 12:30 AM
Satu kluster tibi dikesan di Kota Tinggi, 804 kontak disaring, 33 positif
Satu kluster tibi dikesan di Kota Tinggi, 804 kontak disaring, 33 positif

JOHOR BAHRU, 5 FEB: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan satu kluster Tuberkulosis atau tibi di Kota Tinggi pada 25 Januari lalu dengan 33 kes positif dikesan hasil saringan ke atas 804 kontak rapat setakat 4 Februari.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata pasukan KKM kini berada di lapangan dan sedang mengambil tindakan agresif bagi membendung penularan wabak berkenaan.

“Kesemua pesakit yang dikesan positif telah menerima rawatan dan sedang dipantau rapi oleh pihak KKM,” katanya menerusi hantaran di laman X lewat malam tadi.

Dzulkefly berkata satu kematian dilaporkan dalam kluster berkenaan, namun mengesahkan bukan disebabkan oleh jangkitan tibi.

Beliau berkata KKM kini berada dalam kesiapsiagaan tinggi, dengan tindakan pengesanan kes secara aktif atau Active Case Detection akan diteruskan bagi memastikan keselamatan komuniti setempat.

Dzulkefly berkata penduduk sekitar yang mengalami simptom seperti batuk berpanjangan, demam atau berpeluh pada waktu malam diminta segera menjalani saringan kesihatan dan tidak menunggu sehingga keadaan menjadi lebih serius.

Beliau berkata orang ramai dinasihatkan tidak menyebarkan berita palsu yang boleh mencetuskan panik.

Penyakit tibi turut dikenali sebagai batuk kering merupakan penyakit berjangkit yang berpunca daripada Mycobacterium tuberculosis yang merebak melalui udara kepada kontak rapat yang berdekatan.

Gejala penyakit tibi termasuklah batuk berpanjangan, hilang berat badan yang ketara, hilang selera makan, berpeluh pada waktu malam dan batuk berdarah.

Penyakit tibi boleh dicegah dan sembuh sepenuhnya melalui rawatan yang efektif dengan tempoh rawatan minima selama enam bulan.

- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619