Program Malaysia Rumah Keduaku bukan platform beri kewarganegaraan

4 Feb 2026, 3:28 AM
Program Malaysia Rumah Keduaku bukan platform beri kewarganegaraan

SHAH ALAM, 4 FEB: Kerajaan menegaskan tidak pernah membuka sebarang laluan kepada ekspatriat untuk memperoleh kewarganegaraan menerusi Program Malaysia Rumah Keduaku (MM2H).

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing berkata, MM2H hanyalah satu inisiatif strategik berbentuk pas lawatan sosial jangka panjang yang disertakan kemudahan visa berulang alik, bagi membolehkan warga asing menetap di Malaysia untuk tempoh tertentu.

“Sehingga kini, program MM2H tidak pernah menawarkan atau membenarkan permohonan kewarganegaraan.

“Taraf pemastautin tetap (MYPR) pula merupakan pas lawatan sosial jangka panjang dengan kemudahan multiple entry visa yang membolehkan warga asing tinggal di Malaysia antara lima hingga 20 tahun,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjelaskan, MYPR dikelaskan kepada empat kategori utama iaitu platinum bagi tempoh 20 tahun, gold (15 tahun), silver (lima tahun) dan zon ekonomi khas selama 10 tahun.

Tiong berkata demikian ketika menjawab soalan Wan Hassan Mohd Ramli (PN–Dungun) yang meminta penjelasan sama ada terdapat pemohon MM2H yang memperoleh kewarganegaraan melalui program berkenaan, selain jumlah hartanah yang terjual kepada warga asing sehingga 2025.

Menurut beliau, setakat 31 Disember tahun lalu, seramai 744 peserta MM2H direkodkan telah membeli kediaman di Malaysia, manakala 2,637 peserta lain masih dalam proses pembelian.

“Proses itu termasuk memuktamadkan perjanjian jual beli serta mengenal pasti lokasi kediaman yang sesuai,” katanya.

Beliau turut memaklumkan, pembelian kediaman tertinggi direkodkan oleh peserta dari China dengan 304 unit, diikuti Taiwan (91), Singapura (63), Amerika Syarikat (41), United Kingdom (40) dan Hong Kong (34).

Negara lain yang turut mencatat pembelian melalui program MM2H ialah Australia (29), Bangladesh (19), Korea Selatan (15), serta Indonesia dan Jepun masing-masing 14 unit.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619