Perkukuh operasi di semua pintu masuk, AKPS perlu 400 pegawai penyiasat

3 Feb 2026, 10:04 AM
Perkukuh operasi di semua pintu masuk, AKPS perlu 400 pegawai penyiasat

SHAH ALAM, 3 FEB: Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) memerlukan kira-kira 400 pegawai penyiasat bagi menyokong operasi dan penguatkuasaannya di semua pintu masuk di seluruh negara.

Ketua pengarahnya, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain, berkata jumlah itu adalah anggaran awal berikutan AKPS mahu melaksanakan sepenuhnya fungsi penyiasatan dan pendakwaan secara sendiri pada masa depan, lapor Berita Harian.

"Kita memerlukan hampir 400 pegawai penyiasat yang menjadi cabaran kepada saya untuk melatih dengan kekuatan sedia ada dan pengambilan baharu kelak.

"Saya pernah mengatakan kepakaran Polis Diraja Malaysia (PDRM) diperlukan dalam mematangkan AKPS pada masa lebih singkat," katanya selepas menyampaikan amanat kepada anggota dan pegawai agensi itu d Putrajaya, hari ini.

Sebagai agensi yang masih muda, Mohd Shuhaily berkata, ia sudah mempunyai pegawai pendakwa raya, yang ketika ini membantu menasihati dalam penggubalan undang-undang membabitkan AKPS.

Sementara itu, ketika berucap, Mohd Shuhaily berkata, pihaknya memerlukan 14,721 anggota dan pegawai untuk pengoperasiannya.

Ketika ini, AKPS dianggotai pegawai agensi lain yang dipindahbutirkan daripada jabatan asal iaitu Jabatan Imigresen, Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS), Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Kementerian Kesihatan (KKM), Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dan yang terbaru Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membabitkan 1,053 anggota yang diserapkan pada 1 Oktober 2025.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619