SPRM buka semula kes lama jika ada bukti baharu

3 Feb 2026, 5:40 AM
SPRM buka semula kes lama jika ada bukti baharu

PUTRAJAYA, 3 FEB: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia akan membuka semula siasatan terhadap mana-mana kes jika terdapat petunjuk baharu, walaupun kes tersebut sebelum ini diklasifikasikan sebagai tiada kes.

Ketua Pesuruhjayanya Tan Sri Azam Baki berkata perkara itu boleh dilakukan kerana siasatan terhadap kes jenayah tidak ada had masa.

"Kes ini mungkin pada suatu ketika dahulu dikatakan tidak ada kes tetapi sekiranya ada bukti, petunjuk ataupun lead baharu, SPRM akan menjalankan siasatan.

"Banyak kes yang terdahulu, sama ada suka atau tidak suka, kita telah meneruskan siasatan," katanya pada sidang media selepas majlis menadatangani Nota Kerjasama antara Jabatan Wilayah Persekutuan (JWP) dan SPRM di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditanya jika SPRM akan membuka semula siasatan terhadap kes lama yang mendapat banyak aduan di bawah seliaan JWP.

Mengulas lanjut, Azam turut menegaskan SPRM tidak akan menjalankan pemantauan secara menyeluruh ke atas semua jabatan tanpa asas siasatan atau maklumat yang kukuh.

“Kita tidak pergi pusing semua jabatan untuk tengok tentang sistem dan kelemahan yang ada di sana. Itu bukan kerja kami,” katanya.

Sebaliknya, beliau menyarankan ketua-ketua jabatan supaya lebih proaktif menilai kelemahan dalam sistem masing-masing dan melaporkannya kepada SPRM untuk tindakan lanjut.

Azam berkata SPRM hanya akan mengambil tindakan berdasarkan maklumat atau siasatan yang dijalankan, termasuk melalui kerjasama seperti Nota Kerjasama dengan JWP bagi memperbaiki tadbir urus, prosedur serta menutup ruang kelemahan yang boleh membuka peluang kepada rasuah.

-- BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.

Properties
MS: f922288e558c3b7b1d99bd47484377b4
EN: cd68e718a4d41dc8ef70c9d27c60e1f1
ZH: 100cdec69db9bc7fd9f175cab704a072
TA: 7b60ca9b9b7a9838dc33c5db6fb6f38c
TV-MS: 5c53513d790774360d169f98c36ce619